Kerajaan Perlu Kaji Semula Tarif Elektrik T20 – Nik Nazmi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Pemberian subsidi bagi tarif elektrik buat pengguna domestik kategori T20 perlu dikaji semula pada masa depan.

Hal ini kerana golongan T20 ini berkemampuan untuk membayar tarif yang lebih kompetitif.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata negara perlu beralih kepada subsidi secara bersasar dalam tarif elektrik dengan memastikan hanya golongan sasar memperoleh manfaatnya.

“Kita ada kerangka Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) untuk tetapkan tarif harga elektrik. Kita masih melindungi dan kekalkan kadar sama bagi pengguna domestik walaupun T20.

“Itu satu perkara yang bagi saya perlu fikir semula pada masa depan kerana kalau cakap soal tarif untuk T20, mereka dapat gaji besar dan perlu bayar tarif lebih kompetitif.

“Untuk M40 dan B40, saya setuju kita perlu melindungi mereka,” katanya ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Tahun lalu, kerajaan memutuskan, tarif elektrik bagi pengguna bukan domestik bervoltan sederhana dan tinggi dikenakan surcaj pada kadar 20 sen/kWj.

Pada masa sama, Nik Nazmi mempertahankan kenaikan surcaj berbanding 3.7 sen/kWj sebelum ini kerana ia membabitkan operasi besar dan kerajaan tidak boleh meneruskan subsidi korporat.

Namun, beliau berkata, kerajaan akan memberi kadar tarif lebih baik kepada beberapa syarikat yang perkhidmatannya boleh memberi kesan kepada rakyat, termasuk utiliti melalui kitaran ICPT akan datang.

“Saya setuju ada beberapa syarikat terkesan (jika berlaku kenaikan tarif). Contohnya, syarikat utiliti yang memberi perkhidmatan kepada rakyat dan kita akan beri kadar lebih baik kepada mereka.

“Kita tidak boleh meneruskan subsidi korporat kerana korporat mendapat keuntungan besar berbanding kadar gaji dan sebagainya.

“Kita kena beralih kepada subsidi bersasar yang memberi manfaat kepada rakyat secara langsung,” katanya.

Nik Nazmi berkata, kerajaan juga akan menggubal perundangan dalam soal keberkesanan tenaga supaya syarikat mengkaji cara lebih efisien untuk menghasilkan sesuatu produk.

“Kita mahu mereka mengamalkan keberkesanan tenaga sebab kita nak tarik pelabur, bukan atas dasar kos, tarif atau gaji rendah, sebaliknya disebabkan kita ada nilai tambah,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat