Titah Adendum: Pas dakwa kerajaan tidak jujur

- Advertisement -

SHAH ALAM – Pas mendakwa kegagalan kerajaan bersikap jujur dan telus berhubung isu Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 membabitkan tahanan di rumah kepada Datuk Seri Najib Tun Razak tidak boleh diterima malah zalim serta melampaui batas.

Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan berkata, susulan itu kerajaan perlu bertanggungjawab untuk menjelaskan perkara sebenar selain mengambil langkah bermaruah membetulkan keadaan kerana taruhannya sangat besar.

Katanya, ia bukan sahaja melibatkan kesejahteraan diri seorang individu namun lebih penting ialah kemaslahatan negara dan rakyat serta keutuhan sistem kenegaraan.

“Kita tidak boleh biarkan sistem kenegaraan terus ditekan dan dicabar oleh kelemahan atau kegagalan kerajaan sekarang serta kepimpinannya.

“Dalam pada itu, Pas juga mendapati tindakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memfailkan afidavit sokongan terhadap permohonan semakan kehakiman Najib juga sumbang dan pelik dari beberapa sudut,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz gagal untuk memfailkan afidavit di Mahkamah bagi membetulkan fakta yang didakwa tidak tepat, berhubung Titah Adendum berhubung kes pengampunan Najib.

Hakim, Datuk Amarjeet Singh memutuskan demikian semasa pendengaran permohonan kebenaran Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO ini untuk memfailkan afidavit bagi membetulkan kesilapan fakta dalam afidavit dikemukakan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tambah Takiyuddin, kegagalan itu akan menimbulkan pelbagai persoalan teras melibatkan integriti, kejujuran dan ketelusan kerajaan serta kedudukan maruah Raja-Raja Melayu.

“Selain itu, ia turut mendedahkan sikap sebenar kerajaan berhubung kedudukan dan keutamaan perintah seorang ketua negara,” jelasnya.

Menurut beliau, keadaan itu diburukkan lagi oleh beberapa kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang seolah-olah mahu lepas tangan dan berdolak-dalik untuk tidak menjawab isu berkenaan.

“Pas juga berasa hairan mengapa Ahmad Zahid perlu menunggu begitu lama, iaitu sehingga 9 April, untuk membuat pendedahan itu dengan dengan memfailkan afidavit menyokong permohonan semakan kehakiman Najib.

“Sedangkan, sebelum itu menurut dakwaan beliau, Tengku Zafrul memaklumkan kepadanya tentang kewujudan Titah Addendum tersebut pada 29 Januari lagi,” katanya.

-SINAR HARIAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat