Takdir hidup Quan selepas lari peperangan

- Advertisement -

LOS ANGELES : Nama aktor kelahiran Asia, Ke Huy Quan kini boleh dikatakan duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bintang terkemuka Hollywood.

Ke Huy menewaskan Gleeson; Keoghan; Pitt dan Redmayne bagi merebut trofi Pelakon Pembantu Terbaik. - Foto Reuters
Ke Huy menewaskan Gleeson; Keoghan; Pitt dan Redmayne bagi merebut trofi Pelakon Pembantu Terbaik. – Foto Reuters

 

Selain aktres kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh, Quan seorang lagi jelmaan bintang kelahiran Asia diiktiraf dalam Anugerah Golden Globe Ke-80, baru-baru ini.

Menerusi acara berprestij itu, Quan berjaya menggenggam trofi Pelakon Pembantu Terbaik, Filem Muzikal/Komedi menerusi filem Everything Everywhere All at Once, iaitu naskhah yang sama menyaksikan Yeoh merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik, Muzikal/Komedi.

Pelakon berusia 52 tahun itu menewaskan beberapa aktor handalan Hollywood seperti Brendan Gleeson yang membintangi filem The Banshees of Inisherin, Barry Keoghan (The Banshees of Inisherin), Brad Pitt (Babylon) dan Eddie Redmayne (The Good Nurse).

Bagaimanapun, kemanisan kejayaan dirasai Quan bukanlah perjalanan mudah, bahkan pernah melalui pelbagai onak duri mencabar sebelum berada di kemuncak.

Menyoroti sejarah kehidupan aktor kelahiran Ho Chi Minh City, Vietnam itu amat menyedihkan. Pada 1978, dalam usia tujuh tahun dan belum mengenal erti lakonan, Quan terpaksa berdepan peperangan yang memaksanya dan keluarga berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) untuk meneruskan hidup.

Quan, bapa dan lima adik-beradik tiba di kem pelarian di Hong Kong, manakala ibunya dan tiga lagi adik-beradik melarikan diri ke Malaysia. Bagaimanapun, seluruh keluarga bersatu semula dan berhijrah ke AS, setahun kemudian.

Menjengah usia 12 tahun, bakat lakonan Quan mula dihidu beberapa pengarah terkemuka termasuklah Steven Spielberg.

Lantaran itu, Quan berpeluang beraksi buat kali pertama di layar perak menerusi filem Indiana Jones and Temple of the Doom menerusi watak Short Round di sisi Harrison Ford, Kate Capshaw dan ramai bintang ternama.

Namun, kemuncaknya, Quan berjaya menambat hati menerusi personaliti dimiliki berbanding ribuan peserta yang mengikuti sesi uji bakat dari seluruh dunia dalam filem Everything Everywhere All at Once.

Nama Quan dikenali hasil menerusi bakat magis dimiliki, lantas membuka peluang untuk terus melebarkan sayap dalam industri perfileman Hollywood.

Deretan filem dibintangi Quan, antaranya The Goonies pada 1985, Breathing Fire (1991) Encino Man (1992) termasuk beberapa drama televisyen dan sitkom.

Menginjak dewasa, Quan merasakan sukar menembusi bidang lakonan di Hollywood, lalu mengambil keputusan berhenti seketika bagi menyambung pengajian dalam jurusan perfileman di University of Southern California (USC).

Sebaik tamat pengajian, Quan dipelawa pengarah dari Hong Kong, Corey Yuen ke Toronto, Kanada untuk membantu membuat koreografi bagi babak aksi dalam filem X-Men pada 2000, sebelum memulakan bekerja dalam pelbagai produksi dari Asia dan AS.

Pada 2018, Quan mula mendapat inspirasi daripada kejayaan filem Crazy Rich Asians yang dibarisi ramai pelakon Asia termasuk Yeoh, sekali gus membuka semula pintu hatinya untuk kembali ke dunia lakonan.

Dalam masa sama, nama Quan tersenarai untuk membintangi filem Everything Everywhere All at Once sebagai Waymond Wang iaitu watak tiga jelmaan berbeza.

Pada Januari 2020, Quan diumumkan sebagai pelakon pembantu dalam filem Everything Everywhere All at Once, sebelum ditayangkan dua tahun kemudian.

Filem arahan bersama Daniel Kwan dan Daniel Scheinert itu menerima maklum balas positif termasuk lakonan Quan mendapat pujian dan perhatian.

Akhirnya, Quan berjaya membuktikan bakat lakonannya berada pada kelas tersendiri dan hasil usaha yang diperjuangkan sejak kecil berbaloi.

Mungkin suatu ketika dahulu persepsi pelakon kelahiran Asia itu sukar menembusi dunia perfileman Hollywood, apatah lagi, mahu menggenggam trofi pengiktirafan.

Namun, Quan dan Yeoh membuktikan tiada perkara mustahil apabila berjaya mengetepikan bintang-bintang terkemuka dunia.

Menerusi kemenangannya itu, Quan berusaha keras tidak menangis, namun sering menitiskan air mata sejak akhir ini.

Quan akui, dirinya cenderung menjadi emosional apabila memikirkan takdir hidupnya.

“Saya terharu dan emosi, setiap hari. Saya tidak sangka hari ini akan tiba. Ia adalah hari paling diimpikan untuk sekian lama selama beberapa dekad.

“Dan, ia akhirnya saya berdiri di pentas ini. Apabila mempunyai impian dan pernah menguburkannya kerana fikir tidak akan menjadi kenyataan, tetapi akhirnya menjadi kenyataan luar biasa.

“Saya banyak menangis,” katanya yang pernah digelar bintang kanak-kanak ikonik menerusi filem Indiana Jones and the Temple of Doom dan The Goonies. – AGENSI

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat