CYBERJAYA – Parti Bangsa Malaysia, dalam satu kenyataan medianya hari ini mengenai pembubaran DUN Johor semalam, bertegas bahawa tempoh pandemik Covid-19 dan kesan bencana banjir baru-baru ini bukan waktu kondusif untuk mengadakan pilihanraya.

Bagaimanapun, menurut Ketua Penerangannya, Zakaria Abd Hamid, demi kestabilan kerajaan negeri, Parti Bangsa Malaysia boleh berkompromi dengan keputusan Menteri Besar selepas mendapat perkenan DYMM Sultan Johor, untuk membubarkan DUN Johor bagi memberi laluan kepada SPR menjalankan pilihanraya negeri (PRN) Johor.

Kompromi ini katanya, mensyaratkan SOP pilihanraya ketat perlu dikuatkuasakan seperti mana terpakai perlaksanaannya semasa PRN Negeri Melaka dan PRN Sarawak sebelum ini.

Parti Bangsa Malaysia juga jelasnya lagi, akan mempertimbangkan kesesuaian untuk turut meletakkan calon dalam PRN Johor.

Majlis Tertinggi (MT) PBM akan membuat keputusan dalam masa terdekat termasuk opsyen bekerjasama dengan blok kerajaan sejajar dengan sokongan PBM terhadap kerajaan di peringkat Pusat.

Penyertaan PBM katanya, bakal memberi ruang memperkenalkan dasar-dasar perjuangan parti melalui 6 teras agenda The Great Reset 2030 iaitu parti dengan kepelbagaian kaum, memperkasa wanita, mengangkat kepimpinan anak muda, penjanaan ekonomi, transformasi pendidikan dan peningkatan penguasaan sains teknologi.

PBM dengan itu, menyeru semua parti yang akan bertanding memberi komitmen sepenuhnya dalam pematuhan SOP yang akan dikuatkuasakan oleh SPR.