KUALA LUMPUR – Petronas tidak merahsiakan prestasi kewangan sebaliknya telah membudayakan akauntabiliti sebagai amalan syarikat dengan pelaporan kerap mengenai pekembangan dan pencapaian syarikat khususnya prestasi kewangan setiap suku tahun dan tahunan di laman web yang boleh diakses oleh orang awam walaupun tidak disenaraikan di bursa saham.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Petronas mengumumkan prestasi kewangan melalui kenyataan media pada setiap suku tahun dan juga taklimat kepada media pada setiap separuh tahun.

“Sebagai entiti komersial yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965, Petronas sentiasa mengamalkan aspek tadbir urus
korporat yang baik (good corporate governance) di bawah teraju Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif yang berkaliber dibimbing oleh barisan Lembaga Pengarah Petronas terdiri daripada wakilwakil teknokrat, pegawai kanan kerajaan yang berpengalaman luas di dalam bidang masing-masing di mana setiap kuputusan strategik
yang diambil Petronas sentiasa dinilai dan diteliti.

“Petronas juga merupakan syarikat tunggal dari Malaysia yang masih tersenarai di dalam Fortune 500 (No. 277 pada tahun 2021),” jelas Mustapa.

Beliau juga menegaskan Petronas merupakan syarikat minyak dan gas milik penuh kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kewangan diperbadankan, dan bertanggungjawab di dalam pembangunan sektor serta lapangan minyak dan gas domestik seperti diperuntukkan oleh Akta Kemajuan Petroleum 1974.

“Keberkesanan dan keupayaan Petronas dalam membangunkan sektor minyak dan gas selama ini dan banyak menyumbang kepada
pembangunan negara.

“Petronas mempunyai operasi huluan di lebih daripada 20 negara dan memasarkan produk hiliran, seperti minyak pelincir, ke lebih daripada 90 negara.

“Setakat tahun 2020, sejumlah RM1.2 trilion telah disumbangkan kepada kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan
negeri dalam bentuk dividen, bayaran tunai dan cukai,” ujar beliau.

Mustapa memberitahu, Petronas komited untuk mengekalkan ekosistem perniagaan dan pelaburan yang stabil dan kondusif bagi pertumbuhan dan kelestarian industri minyak dan gas negara.

“Ini sekaligus membolehkan penglibatan aktif kerajaan-kerajaan negeri dalam peluang pelaburan industri minyak dan gas berdasarkan terma komersial dan kebolehlaksanaan teknikal,” tegas Mustapa.

Beliau berkata demikian menjawab Datuk Seri Panglima Madius Tangau (UPKO-Tuaran) bertanya kenapakah laporan prestasi kewangan Petronas melalui laporan tahunan dirahsiakan dan tidak melaporkan kepada Parlimen sejak dari mula beroperasi sehingga sekarang.