Mohamaddin Sangat Biadab, Melampau – Mejar Huan Cheng Guan

- Advertisement -

KOTA KINABALU – Kenyataan bekas Menteri Pakatan Harapan (PH) yang kini merupakan calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi menghina wira negara dianggap melampau.

Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Mejar Datuk Huan Cheng Guan tidak sangka begitu biadap Mohamaddin mengeluarkan kata-kata tanpa rasa hormat kepada perajurit, polis dan tentera.

Malah beliau menyifatkan Mohamaddin manusia paling tidak mengenang budi yang masih lagi hidup atas pengorbanan anggota keselamatan serta wira-wira negara.

“Sememangnya saya tidak sangka, sebagai bekas anggota keselamatan saya sendiri secara peribadi turut terkesan, sakit hati, marah dan kecewa dengan kata-kata disusuli gelak ketawa oleh Mohamaddin itu.

“Mana perginya rasa hormat kamu? Inikah contoh seseorang yang mahu menjadi pemimpin kepada rakyat? Sangat sangat sangatlah biadap.

“Ahli politik seperti ini sudah melampaui batas memperjudikan keselamatan negara demi kesenangan serta agenda mereka.

“Apakah mereka sedar kuasa yang mereka nikmati ini sebenarnya hasil pengorbanan wira-wira yang ramainya tidak di dendang ini? Bodohkah kamu Mohamaddin? Tidak layak langsung bergelar rakyat Malaysia.

“Saya rasa begitu terhina dan tercabar dengan kenyataan seperti ini. Janganlah kamu kata ianya telah disalah tafsir oleh pihak lawan, apa maksud kamu berperang dengan ayam dan anjing?

“Yang terkorban di insiden Tanduo itu juga adalah sandiwara? Begitu kata kamu? Pergilah cakap seperti itu dengan keluarga dan sahabat handai mereka. Sungguh malu ada manusia seperti ini dan tidak pasti pula jika Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal rasa malu atau tidak,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Kata Cheng Guan lagi, perbuatan Mohamaddin itu tidak sepatutnya dimaafka sebaliknya tindakan sekeras perlu dilakukan supaya tidak ada sesiapa berani memperlekehkan anggota keselamatan selepas ini.

“Jangan asyik gunakan medan politik untuk berpolitik dan sebar politik kebencian. Sepatutnya semua ini di pantau supaya manusia tidak mengenang budi seperti Mohamaddin ini tidak berlaku lagi.

“Sampai saat ini tidak ada pula apa-apa kenyataan daripada para pimpinan hebat-hebat, mana Shafie menghilang, mana Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, mana Anwar Ibrahim? Semua diam sahaja, mengapa takut hilang undi? Begitukah?

“Hari ini kita ada undi awal daripada golongan anggota-anggota keselamatan ini, adakah kalah PRN jadi diam dulu cari strategi untuk tipu rakyat lagi? Cukup-cukuplah tipu seperti ini. Malu sikit,” tegasnya.

Semalam tular video bekas Menteri Pelancongan itu kononnya mendakwa pencerobohan Lahad Datu tahun 2013 hanya satu sandiwara.

Untuk rekod, pencerobohan di Lahad Datu telah menyebabkan 10 orang anggota keselamatan terkorban termasuk dalam beberapa serangan hendap.

Bagaimanapun Mohamaddin menafikan mengeluarkan kenyataan menghina anggota keselamatan yang terkorban dalam kejadian itu.

Beliau dikatakan menganggap anggota-anggota keselamatan sebenarnya bukan ‘berperang’ dengan pengganas sebaliknya hanya ‘berperang’ dengan ayam dan anjing. – MalaysiaGazette

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat