KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan 127 rakyat Palestin yang berada di Malaysia untuk rawatan kesihatan ketika ini tidak akan diberi hak kewarganegaraan seperti yang dibimbangi sesetengah pihak..
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, perbincangan dua hala antara Malaysia dan Palestin sudah sepakat untuk menghantar pulang rakyat Palestin berkenaan selepas pulih daripada rawatan.
Pada 16 Ogos lalu, seramai 41 rakyat Palestin yang cedera akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza, dengan diiringi 86 waris mereka selamat tiba di Pangkalan Tentera Udara (PTU) Subang.
“Tak usahlah risau, ada negeri-negeri yang risau kita akan menghantar mereka orang Palestin ini duduk di negeri mereka, tak ada.
“Kita telah janji kepada mereka bagi hubungan dua hala saya yang aturkan lepas itu operasinya dibuat oleh (Menteri Pertahanan) Datuk Seri Khaled Nordin.
“Mereka minta untuk kita memperakukan bahawa anak-anak kita rawat dan akan balik semula, perlu ada peri kasihan kepada orang yang menderita,” katanya pada sidang media malam ini di WTC, Kuala Lumpur.
Mohamad memberitahu, sekiranya diberi pilihan rakyat Palestin tidak berhasrat langsung meninggalkan negara mereka bahkan rela mati di tanah air sendiri.
“Mereka ni tak nak datang, mereka tak mau keluar, mereka tidak mahu tinggalkan tanah air kerana mereka lebih rela mati di tanah air sendiri dan dengan janji kita bawa ke sini untuk kita memberikan sedikit bantuan perubatan kepada anak-anak yang cedera.
“…dan kita mesti menghantar mereka balik tidak ada lagi pertikaian bahawa rakyat Palestin tercedera ini akan tinggal di negara kita untuk tempoh waktu yang lama.
“Mereka nak balik ke tanah air mereka, mereka nak mati di negara mereka sendiri itu kata dia. Saya berbincang dengan pemimpin-pemimpin di Palestin, itulah kata mereka.
“Bahkan, mereka tak mahu pergi ke Jordan tak mahu ke mana-mana biarlah mereka mati di situ, tetapi kita sebagai masyarakat antarabangsa, negara yang mempunyai hati terhadap penderitaan …sedikit yang kita buat itu janganlah menjadi sebagai perkara yang dihebohkan sangat,” jelas Timbalan Presiden Umno itu.
Sementara itu, Khaled pada sidang media sama memaklumkan setakat ini belum perancangan untuk misi kedua membawa rakyat Palestin ke Malaysia.
“Misi kedua, buat ketika ini belum.
“Kita kena faham 70 ribu rakyat Palestin dapat cross dan dapat duduk di Mesir dan kita diminta untuk bantu ambil setakat ini jumlah itu,” kata Menteri Pertahanan itu.
Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan perasaan amat kesal dan sedih atas sikap sesetengah pihak yang mengecam dan mengkritik langkah membawa rakyat Palestin yang cedera untuk dirawat di negara ini.
Perdana Menteri berkata ada dalam kalangan mereka yang sanggup mencerca usaha murni berkenaan, sedangkan ia tanggungjawab kecil yang dilakukan atas dasar belas kasihan dan ihsan terhadap rakyat Palestin yang cedera parah akibat menjadi mangsa kezaliman Zionis Israel.