KUALA LUMPUR – Islam di Malaysia sekarang ini seakan telah di ‘hijacked’ atau ditawan oleh golongan tertentu yang merasakan bahawa Islam adalah milikan tunggal mereka.
Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan mendakwa kelompok itu beranggapan hanya mereka mempunyai ilmu dan menilai apa yang Islamik dan bukan Islamik.
“Ada yang mendukacitakan kita pada waktu ini pula ialah, Islam di Malaysia sekarang ini seakan telah di ‘hijacked’ oleh golongan tertentu.
“Ada kelompok politik dalam negara ini yang merasakan bahawa Islam adalah milikan tunggal mereka. Hanya mereka yang mempunyai ilmu, untuk menilai apa yang Islamik dan apa yang bukan Islamik.
“Yang lebih merbahaya, sesiapa yang tidak bersama mereka dilihat mengancam Islam. Atau gagal mendukung Islam. Mereka sesungguhnya menggunakan Islam, untuk memecahbelahkan orang Melayu di negara ini.
“Malah menakut dan menjauhkan Islam, dari sanubari dan hormat golongan bukan Islam, terhadap agama suci ini. Kesannya, ummah berpecah, dan Islam pula menjadi lemah,” kata Mohamad.
Menteri Luar itu malah menegaskan, Islam yang sebenar adalah Islam yang bukan milikan siapa-siapa sebaliknya ia rahmat Allah untuk seluruh alam.
“Jika Islam terus ‘ditawan’ seperti mana ia diperlakukan oleh kelompok politik tertentu dalam negara ini, maka Islam akan terancam.
“Umno mesti memastikan ini tidak berlaku. Kita mesti tampil menjelaskan pendirian Umno dalam perkara ini.
“Bahawa Islam adalah agama yang suci, dan tidak pernah sesekali mengajar kita, untuk mengastakan keimanan dan keislaman seseoarang, menggunakan neraca politik dan yang lebih perlu dan penting, Islam mesti kita persembahkan secara berhikmah, moden dan intelektual.
“Bukan dengan jalan menghukum, mencerca atau membeza-bezakan manusia yang pasti, Umno sangat layak untuk memberitahu orang Melayu, bahawa Islam adalah pendorong kemajuan bangsa Melayu, dan kebaikan negara.
“Kerana Umno lah parti politik yang telah membuktikan, bahawa Islam adalah solusi konkrit untuk pembangunan dan kesejahteraan negara. Kita lah yang telah membidani pengenalan sistem perbankan dan kewangan Islam termaju di dunia.
“Kita lah yang mempelopori pendidikan Islam, yang seiring dengan pendidikan moden. Pelbagai universiti berteras Islam, dan ratusan sekolah sedemikian, telah kita bangunkan,” katanya
Mohamad berkata, kerana bagi Umno, Islam bukanlah sekadar nama bahkan Islam pembimbing dan pedoman untuk kita berubah dan berdaya saing.
“Hanya Islam yang boleh memberi inspirasi kepada kemajuan yang seimbang, antara keperluan manusiawi dan tuntutan rohani.
“Islam juga harus kita jadikan syiar yang mendorong Malaysia, menjadi sebuah negara yang meraikan kemajmukan.
“Semoga Islam di Malaysia ini, menjadi benar-benar inspirasi untuk sebuah negara yang mendapat limpah rahmat dan pengampunan Ilahi, Insya-Allah dan bukannya dijadikan sebagai barang dagangan politik ataupun bahan tunggangan semata-mata,” kata beliau.