Unjuran pendapatan Ranhill Utilities dinaikkan sehingga 10% bagi FY23-25 kesan pengurangan kos elektrik pada 2HFY23 – TA Securities

- Advertisement -

KUALA LUMPUR 22 Ogos – TA Securities menaikkan unjuran pendapatan Ranhill Utilities Berhad bagi tahun kewangan 2023 hingga 2025 (FY23-25) sebanyak 6% sehingga 10% berikutan kos elektrik yang lebih rendah pada separuh kedua tahun kewangan 2023 (2HFY23).

Firma penyelidikan itu berkata walaupun menerima tunggakan tarif sebanyak RM9 juta dari Oktober 2022 hingga Disember 2022 pada 2QFY23, Ranhill SAJ terjejas oleh caj tambahan Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) sebanyak RM9.3 juta, yang mengimbangi tunggakan tarif tambahan yang dikutip.

“Namun begitu, bagi 1 Julai hingga 31 Disember 2023, semua pengendali air dan pembetungan (termasuk Ranhill SAJ) akan dikenakan surcaj ICPT sebanyak 3.7sen/kWj berbanding surcaj 20sen/kWj pada 1HFY23, yang membawa kepada peningkatan keuntungan bagi kumpulan itu,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Di samping itu, TA Securities berkata Ranhill Utilities sedang berunding dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk menyemak semula sasaran geran pemadanan di bawah program Pengurangan Air Bukan Hasil Negara (NRW).

Sasaran minimum untuk layak menerima pemberian insentif pada 2023 adalah 21.7%, justeru ia berunding untuk menyemak semula kepada tahap boleh dicapai iaitu sekitar 25% kerana kira-kira dua pertiga daripada geran di bawah program itu (2021-2025) masih belum dituntut.

Selain itu, firma itu berkata konsortium yang diketuai Ranhill Utilities telah menyerahkan kajian kebolehlaksanaan kepada Kementerian Kerja Raya dan Perumahan Awam (PUPR) Indonesia dan kini sedang menunggu penerimaan kajian dan penganugerahan ‘Status Pemula’ bagi projek Djuanda yang dijangka selesai menjelang Disember 2023.

“Disebabkan komitmen modal dijangka tinggi bagi projek itu (sekitar AS$900 juta/RM4.18 bilion), Ranhill Utilities merancang untuk mengurangkan pegangan dalam konsortium kepada kira-kira 50% (daripada 75% semasa peringkat kajian kebolehlaksanaan) jika kumpulan meneruskan projek itu.

“Projek itu akan melibatkan risiko kutipan yang minimum kerana Ranhill Utilities akan mengutip bil terus daripada pihak berkuasa tempatan PUPR. Selain itu, berdasarkan memorandum persefahaman yang ditandatangani sebelum ini, tarif akan dinaikkan setiap tiga tahun,” tambahnya.

Menurut TA Securities, kumpulan itu berhasrat menghantar semula permohonan untuk dua kuota 30MW di bawah Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP) selepas tidak mendapat kelulusan kerana masalah dengan dokumentasi.

Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi pada 70 sen sesaham daripada 67 sen.

Pada waktu penulisan, saham Ranhill Utilities menokok 1 sen atau 1.6% kepada 63.5 sen dengan permodalan pasaran bernilai RM822.9 juta.

SUMBER– DagangNews.com

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat