Saintis China Temui Koronavirus Baharu pada Kelawar, Berisiko Menjangkiti Manusia
BEIJING, 22 Februari – Sebuah pasukan penyelidik dari China telah menemui koronavirus baharu pada kelawar yang berpotensi menjangkiti manusia, menurut laporan South China Morning Post pada Khamis. Virus ini menggunakan reseptor manusia yang sama seperti COVID-19, meningkatkan kebimbangan mengenai kemungkinan penularan antara spesies.
Kajian ini dijalankan oleh Makmal Guangzhou, dengan kerjasama Akademi Sains Guangzhou, Universiti Wuhan, dan Institut Virologi Wuhan, dan diterbitkan dalam jurnal saintifik Cell pada Selasa.
Virus Baharu dengan Reseptor Sama Seperti COVID-19 & SARS
Virus yang dikenali sebagai HKU5-CoV-2 merupakan cabang baharu koronavirus HKU5, yang ditemui pada kelawar spesies Japanese pipistrelle di Hong Kong.
Ujian makmal menunjukkan virus ini boleh , menjangkiti sel manusia, menyerang tisu paru-paru dan usus, berkait dengan reseptor ACE2 dalam manusia, kelawar & haiwan lain.
Keupayaan virus ini untuk mengikat reseptor ACE2 menunjukkan potensi penularan rentas spesies, walaupun saintis menegaskan bahawa tahap ancamannya jauh lebih rendah berbanding SARS-CoV-2, virus yang menyebabkan COVID-19.
Risiko Penularan Rendah, Tetapi Dipantau Rapi
Walaupun HKU5-CoV-2 mempunyai keupayaan pengikatan lebih kuat berbanding strain asalnya dan boleh menjangkiti pelbagai spesies, para penyelidik menegaskan bahawa risiko penyebaran besar-besaran dalam kalangan manusia adalah rendah.
Kajian ini diketuai oleh Shi Zhengli, seorang saintis terkenal di Institut Virologi Wuhan. Institusi tersebut pernah menjadi pusat kontroversi apabila dakwaan kebocoran makmal menjadi punca pandemik COVID-19 timbul – tuduhan yang telah dinafikan oleh Shi dan kerajaan China.
China sebelum ini turut menolak teori yang mendakwa COVID-19 berpunca daripada kebocoran makmal, dan sebaliknya menegaskan bahawa pandemik ini kemungkinan besar berasal daripada penularan semula jadi di pasar basah Wuhan.
COVID-19 pertama kali dikesan di Wuhan, China pada Disember 2019, sebelum merebak ke seluruh dunia dan menyebabkan hampir tujuh juta kematian serta sekatan pergerakan global.