KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad menasihatkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menghentikan tabiat berbohong.
Bekas Perdana Menteri itu tampil menyanggah kenyataan Anwar kononnya Presiden PKR itu tidak pernah sesekali menyekat mahupun menghalang mana-mana pemimpin negara asing daripada mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir.
“Anwar nafi dia sekat pemimpin luar yang nak jumpa saya. Dia boleh nafi tapi saya nasihat sudah-sudahlah berbohong.
“Tak cukup lagikah rata-rata orang dah label dia sebagai orang yang “setiap kali buka mulut mesti bohong,” bidas Dr Mahathir dalam entri terkini di media sosial pada Sabtu.
Kata bekas Presiden Umno itu lagi, Anwar malah mengungkit isu membabitkan anak-anak Dr Mahathir yang diisytihar memilik harta RM1.2 bilion.
“Kemudian dia ulang lagi pasal anak saya mempunyai harta RM1.2 bilion. Ini dia asaskan kepada kenyataan SPRM Tan Sri Azam Baki. Tapi dia tak cerita habis yang Azam Baki kata tu adalah harta yang dijumlahkan sejak 43 tahun yang lalu.
“Sedangkan Azam Baki juga yang menyatakan harta sebenar yang termasuk saham-saham serta harta boleh lupus adalah sekitar RM450 juta.
“Selain itu, SPRM juga tidak tunjuk sebarang bukti saya telah kayakan anak saya menerusi jawatan saya.
“Dan seperti selalu saya terangkan, saya suruh anak-anak saya berniaga di luar negara. Perniagaan mereka dalam negara hanya setelah saya berhenti daripada jadi Perdana Menteri,” jelas Dr Mahathir lagi.
Tetapi katanya lagi, demi untuk meneruskan pembohongannya bahawa ada bukti berkotak-kotak tentang Dr Mahathir yang didakwa salah guna kuasa untuk kayakan ahli keluarganya, maka Anwar terpaksalah teruskan dengan cerita berbilion-bilion ini.
“Hakikatnya, saya telah saman dia dan sudah lebih dua tahun sampai sekarang tak ada satu kotak pun yang dia buktikan.
“Cuma saya nak ingatkan dia satu perkara. Masa dia Menteri Kewangan, adik-beradik dan ahli keluarganya terima saham, kontrak dan lain-lain pemberian kerajaan.
“Jika ada yang tak percaya, ini semua telah dilapor oleh media dan senarai telah dipamer di Dewan PWTC ketika itu.
“Yang jelas ialah apabila dia buka mulut dia bohong,” tempelak beliau.
Perdana Menteri semalam menyanggah dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya beliau menghalang beberapa pemimpin asing berjumpa dengan bekas Perdana Menteri itu.
Tegas Anwar, tiada mana-mana pemimpin luar negara yang ingin bertemu dengan bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu.