Kadar Ketagihan Internet Di Malaysia Tinggi Berbanding Negara Lain – Annuar

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Ketagihan internet dan kawalan ibu bapa yang kurang efektif merupakan punca peningkatan risiko keselamatan siber terhadap generasi muda, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata ia antara dapatan utama Kajian Tanda Aras Kesedaran Keselamatan Siber 2021/2022 yang dilaksanakan oleh CyberSecurity Malaysia (CSM) dalam tempoh 16 Nov hingga 3 Dis 2021, dengan kerjasama Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan (KPM).

“Terdapat penemuan menarik dan memeranjatkan dalam kajian ini misalnya ketagihan internet, yang saya difahamkan kadar ketagihan di Malaysia ini cukup tinggi berbanding kebanyakan negara lain.

“Ketagihan itu mungkin bersifat positif tetapi bimbang juga ketagihan itu dikaitkan dengan unsur-unsur negatif,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Keselamatan Internet 2022 – Edisi Malaysia di sini hari ini, serta melancarkan laporan eksekutif dapatan kajian itu.

Berdasarkan laporan kajian itu, tanda-tanda ketagihan internet yang dikenal pasti adalah tidur lewat, lebih suka bermain telefon pintar berbanding bermain dengan rakan serta marah apabila tidak dibenarkan menggunakan telefon pintar.

Annuar berkata Kajian Tanda Aras Kesedaran Keselamatan Siber 2021/2022 menggunakan pensampelan yang ramai dan cukup besar untuk melihat dan mengkaji sesuatu trend mengenai penggunaan internet dan teknologi.

Seramai 16,908 responden di seluruh negara terlibat dalam kajian itu melibatkan 13,953 murid sekolah rendah dan menengah termasuk murid pendidikan khas dan 2,955 ibu bapa.

Beliau berkata antara komponen yang perlu diberi perhatian hasil kajian berkenaan adalah kandungan internet yang tidak sesuai dan risiko transaksi dalam talian.

“Saya berharap kita dapat merumuskan kaedah yang boleh dilakukan agar perkembangan teknologi internet dapat menjurus ke arah kebaikan,” katanya.

Annuar berkata institusi keluarga memainkan peranan penting dalam usaha mewujudkan generasi digital yang cemerlang.

“Ibu bapa tidak boleh lagi mengambil sikap memberikan telefon pintar kepada anak-anak atas konteks ingin mudahkan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan membiarkannya tanpa kawalan.

“Mereka (ibu bapa) perlu pantau dan perlu ada mekanisme atau sekuriti supaya peranti yang diberikan terutama kepada yang terlalu muda tidak dilepaskan begitu sahaja,” katanya.

Dalam sidang medianya kemudian, Annuar berkata ancaman siber adalah nyata dan mempunyai beberapa peringkat antaranya ancaman data dan rentas sempadan yang sukar untuk diatasi.

“Ancaman siber adalah nyata dan ia boleh menjejaskan kualiti hidup rakyat dan masyarakat selain daripada sekuriti daripada segi kehilangan data, keselamatan negara dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata penekanan yang perlu dibuat ketika ini adalah membina satu sistem nilai dalam kalangan individu dan institusi keluarga agar penggunaan internet tidak disalahgunakan. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat