KUALA LUMPUR – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang disahkan positif Covid-19 sedang menjalani isolasi di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan bagi tujuan rawatan dan pemantauan.

Dalam kenyataan pada Rabu, Hishammuddin memberitahu walaupun mengalami gejala namun buat masa ini saya berada dalam keadaan baik.

“Seperti dimaklumkan oleh Pejabat Menteri Kanan Pertahanan semalam, saya telah disahkan positif COVID-19 dan diperintahkan menjalani isolasi wajib mengikut ketetapan di bawah Akta Kawalan Penyakit Berjangkit.

“Alhamdulillah, walaupun mengalami gejala namun buat masa ini saya berada dalam keadaan baik.

“Bagi memastikan tahap kesihatan saya terus berada pada tahap memuaskan, saya telah dinasihatkan agar menjalani isolasi di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan bagi tujuan rawatan dan pemantauan.

“Saya terima banyak mesej ucapan dan doa sejak semalam. Saya memohon maaf kerana tidak dapat membalas kesemuanya. Namun bagi pihak seluruh ahli keluarga, saya amat menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat dan mendoakan kesembuhan saya. Semoga ia dimakbulkan oleh Allah SWT. Amin Ya Rabbal Alamin,” ucap Ahli Parlimen Semberong itu.