Ranhill Kaji Semula Cadangan Pembinaan Ladang Angin Di Kudat

- Advertisement -

CYBERJAYA – Syarikat Ranhill Utilities Bhd. kini sedang mengintai peluang untuk berkembang lebih kukuh dalam sektor tenaga yang boleh diperbaharui (RE) di Sabah memandangkan negeri itu menyumbang lebih satu pertiga daripada sumber RE di Malaysia, lapor DagangNews.

Memetik laporan itu, dengan sebanyak 101GW sumber RE dikenalpasti di Sabah, tenaga solar khususnya membentuk sebahagian besar potensi RE kerana ia menikmati tahap sinaran suria terbaik dalam kalangan negeri-negeri lain di negara ini.

Penganalisis MIDF Research, Hafriz Hezry berkata, Ranhill telah berkembang dalam ruang RE dengan memperoleh tender projek solar berskala besar (LSS4) berkapasiti 50MW baru-baru ini di Batang Padang, Perak.

Menurut beliau lagi, Ranhill telah mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan sistem penyimpanan tenaga solar dan bateri (BESS) bagi menangani keadaan kekurangan kapasiti di Sabah Timur, yang kini banyak bergantung kepada loji janakuasa diesel yang mahal.

“Penggunaan solar+BESS sebagai alternatif kepada loji kuasa diesel menjadikannnya berdaya maju pada pandangan kami kerana kos penjanaan tenaga berasaskan minyak dan sulingan adalah setinggi sehingga RM1.02/kwj (berdasarkan statistik daripada Tenaga Nasional Bhd. bagi tahun kewangan 2021).

“Selain itu, memandangkan Sabah memerlukan grid kecil, persediaan solar+BESS sepatutnya membolehkan kumpulan mengatasi isu grid Sabah yang mencapai had penembusan solarnya (sebanyak 20%).

“Malah, Ranhill juga telah mengenal pasti lokasi berpotensi untuk solar di Sandakan, Lahad Datu dan Tawau untuk Sabah Timur, serta Kota Kinabalu di Sabah Barat,” katanya, seperti dilaporkan portal tersebut hari ini.

Untuk rekod, Ranhill ialah penjana tenaga bebas utama (IPP) terbesar di Sabah yang menguasai 30% bahagian pasaran dengan segmen tenaga menyumbang kira-kira 10% kepada pendapatan tahunan kumpulan.

Syarikat itu mengendalikan dua loji kuasa CCGT (turbin gas kitaran gabungan) di bawah 60% milik Ranhill Powertron (RP1) dan 80% milik Ranhill Powertron 2 (RP2), masing-masing dengan kapasiti 190MW, terletak di Taman Perindustrian Kota Kinabalu, Sabah.

RP1 dan RP2 beroperasi di bawah perjanjian pembelian tenaga dengan Sabah Electricity Sdn. Bhd (SESB) masing-masing sehingga 2029 dan 2032, yang pertama di bawah pengaturan BOO (Build-Operate-Own) dan yang kedua, BOT (Build-Operate-Transfer).

Terdahulu, MIDF Research menyertai sesi lawatan ke loji tenaga CCGT Ranhill di Kota Kinabalu yang dihoskan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir. Dr. Zahrul Faizi.

Menurut Hafriz, Ranhill pada 2017 telah mencadangkan pembinaan ladang angin 50MW di Kudat memandangkan terdapat sumber angin yang mencukupi di kawasan tersebut, pada anggaran kelajuan angin 5.0-6.5m/s berdasarkan persediaan ketinggian tiang 70m120m.

Bagaimanapun, dengan potensi tarif sebanyak 90sen/kwj (berdasarkan kelajuan angin yang diberikan), adalah mencabar untuk mewajarkan penggunaan tenaga angin sebagai alternatif kepada loji janakuasa gas bersubsidi besar di Sabah (yang sumber gas hanya pada RM6.40/mmbtu berbanding ke Semenanjung Malaysia ~RM30/mmbtu).

“Memandangkan kos modal untuk infrastruktur tenaga angin terus berkurangan selama bertahun-tahun ditambah dengan peningkatan dalam faktor kapasiti, Ranhill sedang mempertimbangkan untuk menyemak semula cadangan ini,” jelasnya.

Secara purata kos pemasangan global untuk angin darat telah berkurangan sebanyak 29% sepanjang dekad yang lalu, dan sebanyak 15% sejak 2017 khususnya, kepada AS$1355/kw (RM6.2m/MW) pada 2020.

“Mesyuarat seterusnya kami dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan SESB mengesahkan bahawa pengawal selia sedang mengkaji semula cadangan untuk memulihkan projek angin Kudat ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga mendapati Ranhill masih berminat untuk meneroka potensi geoterma di Tawau, Sabah dengan sokongan Kerajaan Persekutuan.

Ketika ini, katanya, ia sedang menunggu pengembalian semula kuota Feed-in-Tariff (FiT) untuk pembangunan geoterma.

“Sebelum ini, pada 2015, Ranhill pernah terlibat dalam pembangunan projek geoterma di Tawau. Berdasarkan Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Diperbaharui Malaysia, Tawau menempatkan satu daripada dua sumber geoterma di negara ini (dengan satu lagi terletak di Ulu Slim, Perak),” jelasnya.

Secara keseluruhan, MIDF Research mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap Ranhill dengan harga sasaran tidak berubah pada 67 sen.

Setakat 9.27 pagi, harga sahamnya menokok 0.5 sen atau 1.39% kepada 36.5 sen dengan 65,600 saham diniagakan, kata laporan itu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat