FDAM serah nama individu antivaksin kepada FINAS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Selepas pendedahan ada tujuh individu mewakili tiga peratus keahlian Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) tergolong dalam kumpulan antivaksin, badan itu menyerahkan nama pihak terbabit kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk tindakan lanjut.

Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim, berkata FDAM enggan mendedahkan nama tujuh individu terbabit atau menyenaraihitamkan mereka, sebaliknya menyerahkan kepada pertimbangan FINAS untuk menentukan langkah seterusnya.

Namun, Ahmad atau lebih dikenali sebagai Mat London menegaskan individu yang didapati tidak mengambil dua dos suntikan vaksin COVID-19 akan dikenakan tindakan jika mereka kembali ke lapangan.

“Kami tidak akan mendedahkan nama-nama ahli FDAM yang tidak mahu mengambil vaksin itu. Tetapi sekiranya ada antara mereka melanggar peraturan dan kembali bekerja di lapangan, kami akan ambil tindakan.

“Kami sudah menegaskan individu yang tidak lengkap vaksin COVID-19, tidak boleh masuk ke lokasi penggambaran. Biarpun dia hanya lalu-lalang di situ,” katanya kepada BH Online.

Ahmad berkata, setakat ini, FDAM belum mendapat maklumat ada individu yang tidak mengambil vaksin, memasuki set penggambaran dan melakukan kerja pengarahan.

“Kami sudah pesan kepada pengarah dan penerbit supaya tidak mengambil sesiapa yang tidak mengambil dua dos vaksin untuk kembali bekerja,” katanya.

 

Ahmad enggan mendedahkan nama tujuh individu terbabit atau menyenaraihitamkan mereka, sebaliknya menyerahkan kepada pertimbangan FINAS untuk menentukan langkah seterusnya.
Ahmad enggan mendedahkan nama tujuh individu terbabit atau menyenaraihitamkan mereka, sebaliknya menyerahkan kepada pertimbangan FINAS untuk menentukan langkah seterusnya.

 

Bagaimanapun, tambah Ahmad, pihaknya berharap FINAS akan mengenakan tindakan setimpal kepada penggiat seni yang tidak lengkap vaksin jika mereka didapati ingkar kembali bekerja di lapangan.

“FDAM menyokong FINAS untuk menghukum individu melanggar peraturan. Bukan sahaja kepada pengarah, malah penerbit yang membenarkan pelakon dan kru yang kembali bekerja tanpa vaksin lengkap.

“Penerbit juga perlu diingatkan agar tidak suka-suka mengambil pengarah, pelakon dan kru yang tidak mendapat suntikan vaksin.

“Tiada siapa yang tidak lengkap vaksin dibenarkan berada di lokasi penggambaran, biarpun pelakon ekstra. Sesiapa yang tidak ambil vaksin, tidak perlulah kembali bekerja,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad mendedahkan ada tujuh ahli FDAM yang berdegil dan enggan mengambil dua dos suntikan vaksin COVID-19 sebagai syarat boleh bekerja dan menjalani penggambaran seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ahmad dilaporkan berkata, golongan ini ‘diharamkan’ menjejakkan kaki ke lokasi penggambaran. FDAM bimbang kedegilan segelintir pengarah boleh menimbulkan masalah kepada ramai penggiat seni lain pada masa depan.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat