Oleh Zihan Zari
BANGKOK – Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) mencatat detik bersejarah apabila menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Council of Engineers Thailand (COET) bagi melaksanakan program latihan industri dan pertukaran profesional di bawah inisiatif Mobility of ASEAN Engineers (MAE).
MoU ditandatangani oleh Presiden LJM (The Board of Engineers Malaysia – BEM), Dato’ Sri Ir. Roslan Ismail dan Presiden COET, Kittipong Weerapoprasit sempena Mesyuarat ASEAN Chartered Professional Engineers Coordinating Committee (ACPECC) Ke-58 dekat sini pada Isnin.
Ir. Roslan Ismail berkata kerjasama ini bertujuan memberi peluang kepada graduan kejuruteraan dan jurutera muda dari Malaysia dan Thailand untuk menjalani latihan industri serta program pertukaran profesional, sekali gus memperoleh pendedahan antarabangsa, pengalaman industri dan pemahaman budaya kerja yang lebih luas dalam kalangan negara ASEAN.
Menurut beliau, melalui program ini, peserta akan berpeluang ditempatkan di organisasi kejuruteraan, agensi kerajaan, firma perunding, kontraktor, pemaju dan entiti kejuruteraan yang diiktiraf di kedua-dua negara.
“Inisiatif ini dijangka dapat meningkatkan kompetensi teknikal, pembangunan profesional, kefahaman rentas budaya serta kerjasama antara jurutera di rantau ASEAN.
“Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama dalam menyediakan generasi jurutera yang berdaya saing, berfikiran global dan bersedia menghadapi cabaran masa depan yang dipacu teknologi serta pembangunan mampan,”katanya dalam kenyataan.
Katanya lagi, MoU yang berkuat kuasa selama lima tahun ini juga menyokong aspirasi ASEAN untuk memperkukuh mobiliti profesional, integrasi serantau dan perkongsian pengetahuan kejuruteraan antara negara anggota.
“Sebuah Jawatankuasa Kerja Bersama akan ditubuhkan bagi menyelaras pelaksanaan program tersebut, ”ujarnya.
Ujarnya lagi, BEM dan COET turut menyatakan komitmen untuk memastikan kejayaan program ini serta memperkukuh kerjasama antara profesional, institusi dan industri kejuruteraan di seluruh ASEAN. – SUARA.TV



