SABAK BERNAM, 21 Jun – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus mempergiat usaha memperkukuh literasi dan keselamatan digital dalam kalangan masyarakat menerusi penganjuran Mini Karnival Kempen Internet Selamat Sabak Bernam di Balai Raya JPKK Kampung Parit 8 hari ini.
Program yang menghimpunkan kira-kira 300 peserta terdiri daripada komuniti setempat, pelajar, belia, ibu bapa serta kepimpinan komuniti itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Pembangunan Kampung Baharu Selangor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Datuk Ng Suee Lim.
Penganjuran mini karnival tersebut merupakan sebahagian daripada siri pelaksanaan Kempen Internet Selamat di seluruh Selangor, selaras dengan komitmen berterusan MCMC untuk memperluaskan kesedaran berkaitan keselamatan dan literasi digital sehingga ke peringkat akar umbi.
Kempen itu memberi penekanan kepada pelbagai aspek penting termasuk keselamatan siber, perlindungan data peribadi, pencegahan penipuan dalam talian, etika penggunaan Internet serta tanggungjawab bersama dalam membendung penyebaran maklumat palsu dan kandungan berbahaya.
Bagi memastikan mesej keselamatan digital dapat disampaikan dengan lebih berkesan, pelbagai aktiviti interaktif dan mesra komuniti telah diadakan sepanjang program berlangsung. Antaranya ialah pertandingan mewarna bertemakan keselamatan Internet untuk kanak-kanak, sesi senamrobik komuniti serta pelbagai aktiviti kesedaran dan libat urus bersama peserta.
Dalam usaha memperluaskan impak kempen di peringkat komuniti, seramai 32,461 ahli NADI daripada 13 pusat NADI di daerah Sabak Bernam akan berperanan sebagai ejen dan duta komuniti yang menjadi penghubung antara kerajaan dan masyarakat setempat.
Mereka akan membantu menyampaikan maklumat terkini mengenai inisiatif kerajaan, memperkukuh penyampaian dasar serta meningkatkan kesedaran penduduk mengenai kepentingan keselamatan digital dalam kehidupan harian.
MCMC dalam kenyataannya berkata, penganjuran program berskala komuniti seperti itu membolehkan mesej keselamatan Internet disampaikan secara lebih dekat, santai dan mudah difahami oleh masyarakat.
Sehubungan itu, orang ramai diseru supaya sentiasa berwaspada ketika melayari Internet dengan melindungi maklumat peribadi, tidak mudah terpedaya dengan tawaran atau pautan mencurigakan serta mendapatkan pengesahan daripada sumber yang sahih sebelum mempercayai atau menyebarkan sesuatu maklumat.
Menurut MCMC, usaha membina ekosistem digital yang selamat memerlukan kerjasama semua pihak bagi memastikan Internet terus menjadi medium yang bermanfaat, selamat dan bertanggungjawab untuk semua lapisan masyarakat.


