KUALA LUMPUR – Exco Wanita Umno Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid mencadangkan jalan terbaik untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ialah Barisan Nasional (BN) bertanding solo.
Ujar anak sulung Pengerusi BN itu, jika BN bergerak solo ini jauh lebih strategik daripada meletakkan BN-PN dan BN-PH sebagai dua pilihan yang memaksa atau mencetuskan perdebatan antara kita.
“Setakat 10 Ogos 2026, Pengerusi BN merangkap Ketua Menteri Melaka telah menegaskan bahawa sebarang kerjasama mesti diputuskan secara rasmi dan rundingan tidak semestinya berakhir dengan kerjasama.
“BN juga menyatakan mahu mempertahankan 21 kerusi yang dimenanginya pada PRN 2021. Kenyataan rasmi BN Melaka sekarang menggunakan pendekatan “BN Plus” terbuka berunding dengan mana-mana pihak tetapi tidak terikat kepada mana-mana formula sebelum keputusan rasmi dibuat.
“Ini pada saya jauh lebih strategik daripada meletakkan BN-PN dan BN-PH sebagai dua pilihan yg memaksa atau mencetuskan perdebatan antara kita,” katanya.
Menurut Nurulhidayah justeru beliau mencadangkan supaya, BN Melaka harus mengekalkan kekuatan dan pada masa sama meluaskan sepakat.
“Pendapat saya ini lebih baik dan selamat untuk BN terus fokus kepada gerak kerja daripada persoalan siapa pasangan BN di Melaka. BN perlu gunakan formula mana yang memberikan kerajaan paling stabil dan paling kuat untuk rakyat Melaka.
“Jika BN mahu bergerak solo, ini yang terbaik. Tetapi solo bukan sekadar keberanian meletakkan calon di semua kerusi. Solo memerlukan kekuatan. Jangan solo kerana ego. Solo apabila kita benar-benar bersedia.
“Kemenangan di Johor dan Negeri Sembilan jangan membuatkan kita terlalu cepat merasakan rakyat sudah kembali sepenuhnya kepada BN. Yang semakin pulih ialah keyakinan terhadap kepimpinan, disiplin dan kebersamaan dalaman BN setakat ini. Ini perlu diperkukuhkan sebenarnya.
“Jangan sorakan “go solo” hanya kerana kita mahu membuktikan kita kuat. Jadilah kuat dahulu sehingga kita tidak perlu membuktikannya,” katanya.
Tegas beliau, PRN Melaka bukan tempat menguji ego politik.
“Ia medan untuk menang dan membentuk kerajaan. Semangat penting. Tetapi matematik pilihan raya lebih penting,” katanya.



