SERIAN – Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memuji Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) kerana membantu kerajaan negeri menyukat Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) ketika Sarawak berdepan kekurangan juruukur tanah.
Beliau berkata DBNA bekerjasama dengan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak bagi menjalankan kerja pengukuran. Kekurangan juruukur, katanya, menjadi cabaran kepada usaha kerajaan negeri untuk menyukat dan mendaftarkan tanah bagi memastikan hak milik dapat dikenal pasti dengan jelas.
“Ada pihak yang hanya tahu mengkritik dan mengadu kepada kerajaan tetapi tidak mengambil tindakan untuk membantu. Namun, DBNA berbeza.
“Saya amat menghargai masyarakat Bidayuh kerana tampil menjadi rakan kerajaan dalam membantu menyelesaikan isu tanah,” katanya ketika merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Serian di pekarangan Pusat Persidangan Serian hari ini, lapor TVS.
Abang Johari berkata beliau turut meminta JTS menghantar pegawainya mengikuti latihan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi mempelajari kaedah pengukuran tanah menggunakan peralatan dan teknologi baharu.
Menurutnya, pengukuran dan pendaftaran tanah penting untuk memastikan hak milik diiktiraf secara rasmi menerusi Sistem Torrens yang diamalkan di Sarawak. Kejelasan hak milik juga dapat membantu mengelakkan pertikaian antara ahli keluarga mengenai pewarisan tanah.
“Ada kalanya, tanah keluarga yang tidak mempunyai struktur pemilikan jelas boleh menjadi punca perpecahan apabila timbul perselisihan antara adik-beradik mengenai hak pewarisan tanah berkenaan,” katanya.
Abang Johari turut berkata ilmu dan teknologi semakin penting dalam ekonomi baharu. Beliau yakin masyarakat Bidayuh dan seluruh rakyat Sarawak mampu memanfaatkan kedua-duanya untuk meneroka peluang ekonomi baharu.



