KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memastikan proses pembangunan benih dan bahan tanaman di negara ini terus dilaksanakan dengan baik untuk menghasilkan pokok yang baik dan hasil yang berkualiti
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata untuk mendapatkan hasil pertanian yang baik, semuanya bermula daripada benih dan bahan tanaman yang berkualiti.
“Usaha kultur tisu penting, kita nak pastikan bahan tanaman yang sampai kepada petani benar-benar berkualiti, supaya dapat membantu meningkatkan produktiviti dan hasil di ladang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, semalam.
Mohamad semalam, meluangkan masa melawat Ladang Kultur Tisu Pisang di Advanced Agritech, Ayer Molek di Melaka.
“Mudah cerita, nak buah yang baik, pokok kena baik, nak pokok yang baik, benih dan bahan tanaman mesti berkualiti,” katanya.
Beliau berkata langkah ini selari dengan apa yang dibincangkan dalam Majlis Benih Negara iaitu untuk terus memperkukuh pembangunan benih dan bahan tanaman di negara ini.
“Nampaknya macam perkara kecil tapi sebenarnya kesannya cukup besar sebab semuanya bermula daripada benih,” kata Mohamad.
Ladang Advanced Agritech di Ayer Molek adalah fasiliti pertanian moden yang mengeluarkan benih pisang berkualiti tinggi menggunakan teknologi kultur tisu.
Ia memainkan peranan penting dalam membekalkan bahan tanaman yang sihat, bebas penyakit dan subur kepada para petani bagi meningkatkan hasil pengeluaran.
Ladang ini diiktirad di bawah Skim Pensijilan Ladang myGAP (Amalan Pertanian Baik Malaysia) bagi pengeluaran bahan tanaman tisu kultur.



