Balai Seni Negara anjur Hari Terbuka Pustaka Imaginasi pada 22 Ogos ini

Oleh Zihan Zari

KUALA LUMPUR – Orang ramai dan peminat seni visual dijemput untuk mengunjungi dan memeriahkan Hari Terbuka Pustaka Imaginasi 2026 pada 22 Ogos ini (Sabtu), dari jam 9 pagi hingga 5 petang di Balai Seni Negara, Jalan Temerloh, Off Jalan Tun Razak, dekat sini.

Balai Seni Negara dalam satu kenyataan berkata penganjuran program ini bertujuan memperkenalkan Pustaka Imaginasi sebagai pusat rujukan dan pengumpulan data pelukis serta sumber berkaitan seni visual, di samping menggalakkan budaya membaca, memperluas pengetahuan serta merangsang pemikiran kritis dan kreativiti masyarakat.

Katanya, program ini menampilkan pelbagai pengisian berkaitan seni, pembacaan dan kreativiti, antaranya Pertandingan Bercerita, Pertandingan Deklamasi Puisi dan Sembang Santai Buku, selain ruang jualan dan pameran untuk pengunjung.

“Selain itu, Pertandingan Bercerita menggunakan karya seni daripada Koleksi Tetap Balai Seni Negara sebagai asas penceritaan, dengan peserta membina cerita berdasarkan imaginasi, emosi, watak atau mesej daripada karya yang ditetapkan.

“Pertandingan ini terbuka kepada kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun dan dibahagikan kepada Tahap 1 (7-9 tahun) dan Tahap 2 (10-12 tahun), ”kata kenyataan itu pada Khamis.

Katanya, sebanyak 20 karya dipilih sebagai rujukan, terdiri daripada 12 karya daripada Pameran Perolehan Terkini: Recent Acquisition di Galeri 2A dan lapan karya daripada Pameran Cinta Buatan Malaysia 79-89 di Galeri Tun Razak.

Pemilihan karya ini memberi peluang kepada peserta meneroka seni melalui penceritaan serta mengembangkan imaginasi dan kreativiti berdasarkan tafsiran masing-masing.

“Pertandingan Deklamasi Puisi terbuka kepada peserta berumur 13 tahun ke atas dengan tema ‘Seni, Imaginasi dan Kemanusiaan’.

“Peserta dikehendaki memilih dan mendeklamasikan puisi daripada penerbitan Koleksi Puisi: 55 Koleksi 55 Penulis 55 Puisi terbitan Balai Seni Negara,”katanya lagi.

Ujarnya, Program Sembang Santai Buku pula memberi tumpuan kepada buku sebagai sumber ilmu, inspirasi dan rujukan dalam memperkaya apresiasi seni, sejarah dan budaya yang menampilkan kupasan novel Hidup Berjuang karya Mohamed Salehuddin yang merakam pengalaman masyarakat ketika zaman Perang Dunia Kedua, di samping mengetengahkan hubungan antara karya sastera, sejarah dan pemikiran kreatif.

“Sepanjang program, pengunjung turut berpeluang mendapatkan perkhidmatan pendaftaran dan kemas kini biodata artis, pendaftaran keahlian NAG Friends serta
khidmat nasihat mengenai Tabung Bantuan Seni (TBS), selain mengunjungi reruai jualan yang disediakan, ”ujarnya lagi.

Tambahnya, Balai Seni Negara merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor melalui Selangor Fruit Valley, Dermally Malaysia, Gardenia Malaysia, dan iGroup Malaysia melalui Access Dunia Sdn. Bhd.

Selain itu, Lemonjar Software Media Sdn. Bhd. dan Wonderbuuk melalui Edge Tech Engineering atas sokongan dan kerjasama yang diberikan sebagai rakan penaja program ini.

“Melalui penganjuran ini, Balai Seni Negara terus memperkukuh peranan Pustaka Imaginasi sebagai pusat rujukan dan pembelajaran seni visual yang menyediakan
akses kepada sumber ilmu, di samping membuka peluang kepada masyarakat, khususnya generasi muda, untuk mengembangkan pengetahuan, kreativiti dan apresiasi terhadap seni, ”tambahnya lagi.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.artgallery.gov.my atau ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat