Malaysia kekal sebagai Ahli Majlis ITU bagi penggal 2027–2030

KUALA LUMPUR – Malaysia berjaya mempertahankan kerusinya sebagai Ahli Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bagi penggal 2027 hingga 2030, sekali gus memastikan negara terus mempunyai suara dalam menentukan hala tuju pembangunan telekomunikasi dan teknologi digital di peringkat global.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kejayaan yang dicapai di Doha, Qatar itu membolehkan Malaysia terus memainkan peranan sebagai salah satu daripada 48 negara anggota Majlis ITU yang terlibat secara langsung dalam perbincangan serta keputusan penting berkaitan masa depan telekomunikasi dunia.

Menurut beliau, penyertaan Malaysia dalam Majlis ITU turut memberi ruang kepada negara untuk menyumbang kepada pembangunan teknologi generasi akan datang, termasuk rangkaian komunikasi generasi keenam (6G).

Fahmi menegaskan, Malaysia akan terus memperjuangkan kepentingan negara dan memastikan pembangunan teknologi global tidak hanya ditentukan oleh kuasa teknologi utama dunia.

“Kita akan pastikan suara dan kepentingan negara terus diwakili, termasuk mengelakkan kolonialisme teknologi, supaya hala tuju pembangunan teknologi setiap negara tidak ditentukan oleh negara yang lebih maju semata-mata,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, kejayaan itu turut membuka peluang kepada Malaysia untuk berkongsi pengalaman, memperkukuh kerjasama antarabangsa serta menyumbang kepada usaha memastikan pembangunan digital yang lebih inklusif dan saksama.

Keanggotaan dalam Majlis ITU membolehkan Malaysia terlibat dalam proses tadbir urus organisasi telekomunikasi antarabangsa itu, termasuk perbincangan mengenai dasar, pembangunan infrastruktur komunikasi dan kerjasama digital antara negara anggota.

Dalam masa sama, kedudukan tersebut penting bagi memastikan kepentingan negara membangun terus diberikan perhatian ketika dunia bergerak ke arah penggunaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), rangkaian 6G dan infrastruktur digital generasi akan datang.

Fahmi turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan Kementerian Komunikasi, Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atas usaha memastikan Malaysia berjaya mengekalkan kerusi berkenaan.

“Syabas dan tahniah kepada seluruh pasukan Kementerian Komunikasi, Wisma Putra dan MCMC atas kejayaan ini,” katanya. – Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat