PUTRAJAYA – Manfaat penggunaan kecerdasan buatan (AI), automasi dan pendigitalan dalam sektor perladangan negara perlu diperluas kepada pekebun kecil, bukan hanya tertumpu kepada syarikat perladangan besar yang mempunyai kemampuan kewangan dan teknologi.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, kemajuan teknologi berpotensi meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos operasi dan mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, namun pelaksanaannya perlu dilakukan secara inklusif dan bertanggungjawab.
Menurut beliau, penggunaan AI, dron dan automasi kini membolehkan sektor perladangan meramal hasil tanaman, menjimatkan penggunaan baja, memantau guna tanah serta mengurus rantaian bekalan dengan lebih cekap.
Bagaimanapun, katanya, cabaran utama kerajaan adalah memastikan manfaat teknologi yang sudah dinikmati syarikat perladangan besar turut sampai kepada kira-kira 450,000 pekebun kecil sawit di seluruh negara.

“Namun, contoh ini datang daripada sebuah syarikat besar. Cabaran kita ialah memastikan manfaat yang sama turut sampai kepada pekebun kecil.
“Sebab itu, AI dan pendigitalan mesti dilaksanakan secara bertanggungjawab. Data pekebun kecil perlu dilindungi. Sistem yang dibangunkan hendaklah telus dan tidak membebankan pengguna.
“Teknologi mesti memperkasa semua, bukan hanya mereka yang besar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama sempena ESG Summit 2026 yang berlangsung bersempena Festival Idea Putrajaya 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Noraini menjadikan kejayaan program mekanisasi Project Infinity oleh SD Guthrie sebagai contoh bagaimana penggunaan teknologi mampu mengubah operasi perladangan dan pada masa sama membuka peluang pekerjaan baharu kepada rakyat tempatan.
Menurut beliau, syarikat perladangan itu kini menggunakan 444 mesin bagi melaksanakan kerja seperti pembajaan dan kawalan rumpai.
Penggunaan mesin berkenaan berjaya mengurangkan keperluan pekerja bagi kerja-kerja tersebut sebanyak 29 peratus tanpa melibatkan sebarang pemberhentian pekerja.
Lebih menarik, seramai 503 anak tempatan telah dilatih sebagai pakar mesin dengan purata pendapatan kira-kira RM3,500 sebulan.
“Ini bukti bahawa teknologi bukan sahaja meningkatkan produktiviti, malah membuka kerjaya yang berkemahiran dan bergaji baik kepada anak muda kita,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Noraini turut mendedahkan bahawa dron penuaian autonomi yang dibangunkan bersama syarikat teknologi tempatan telah mencapai kadar kejayaan 90 peratus dalam ujian terkawal.
Bagaimanapun, pencapaian itu masih di peringkat ujian dan tidak bermaksud teknologi berkenaan telah digunakan secara meluas dalam operasi penuaian komersial.
Beliau menyifatkan inovasi tersebut sebagai perkembangan membanggakan yang menunjukkan kemampuan kepakaran tempatan menghasilkan teknologi untuk industri perladangan.
Pada masa sama, Noraini menegaskan usaha memperluas penggunaan teknologi kepada pekebun kecil memerlukan kerjasama kerajaan, industri dan institusi pengajian tinggi.
Menurut beliau, sekitar 450,000 pekebun kecil sawit mengusahakan hampir 1.5 juta hektar tanaman, bersamaan kira-kira 27 peratus daripada keseluruhan keluasan tanaman sawit negara.
Justeru, kumpulan berkenaan tidak boleh dipinggirkan dalam usaha meningkatkan produktiviti dan memenuhi tuntutan kemampanan pasaran antarabangsa.
Beliau menggalakkan universiti menjalankan penyelidikan bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Getah Malaysia dan pemain industri, khususnya dalam bidang pengukuran, kebolehkesanan serta pelaporan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Selain itu, institusi pengajian tinggi turut digalakkan membangunkan program latihan AI, sains data dan ESG yang mudah diakses oleh pekebun kecil, koperasi serta perusahaan kecil.
Noraini berkata, antara cabaran yang perlu diberikan perhatian ialah kaedah mengukur jejak karbon pada kos yang mampu ditanggung pekebun kecil serta menyeragamkan data kebolehkesanan tanpa menambah beban pentadbiran.
Dalam konteks itu, beliau menjelaskan bahawa MPOB sedang memperkukuh Sistem Kebolehjejakan Komoditi Malaysia (SKKM) melalui integrasi Sistem Pengurusan Pintar Sawit (SIMS), GeoSAWIT dan e-MSPO.
Langkah tersebut bertujuan meningkatkan keupayaan mengesan asal usul tandan buah segar dari ladang hingga ke kilang, sekali gus menyokong keperluan ketelusan dan pematuhan pasaran antarabangsa.
Noraini turut menekankan bahawa agenda ESG tidak boleh diukur berdasarkan nilai eksport atau pencapaian syarikat besar semata-mata, sebaliknya mesti mengambil kira kesejahteraan pekebun kecil, kebajikan pekerja dan perlindungan alam sekitar.
Menurut beliau, nilai eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit Malaysia mencecah RM112.51 bilion pada 2025, namun daya saing jangka panjang industri bergantung kepada kemampuan negara menghasilkan komoditi secara bertanggungjawab dan membuktikan kemampanannya melalui data yang boleh dipercayai.
“ESG mestilah bersifat inklusif. Kejayaan tidak seharusnya dinilai berdasarkan nilai eksport semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira kesejahteraan pekebun kecil, kebajikan pekerja dan perlindungan alam sekitar,” katanya. – Suara.TV



