Sabah sasar semua produk pelancongan komuniti berdaftar penuhi standard ASEAN menjelang 2030 – Jafry Ariffin

KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah menyasarkan semua produk pelancongan berasaskan komuniti (CBT) dan inap desa berdaftar di negeri itu memenuhi standard pelancongan komuniti ASEAN menjelang 2030.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata sasaran itu akan membantu pengusaha komuniti meningkatkan mutu produk dan perkhidmatan, menambah baik kemudahan serta memperkukuh aspek keselamatan bagi menerima lebih ramai pelawat.

Katanya, setakat ini 13 produk CBT dan inap desa di Sabah telah tersenarai di bawah ASEAN Tourism Standard Awards, manakala lima produk lagi menerima pengiktirafan standard ASEAN di peringkat kebangsaan bagi tempoh 2025 hingga 2027.

Beliau berkata persediaan menjelang Tahun Melawat Sabah 2027 perlu memastikan komuniti luar bandar turut mendapat manfaat daripada peningkatan kunjungan pelancong.

“Usaha promosi kita perlu melangkaui tarikan yang sudah dikenali dan merangkumi pengalaman berasaskan komuniti di luar laluan pelancongan biasa.

“Hal ini termasuk aktiviti kebudayaan, kraf tangan tradisional, agropelancongan, makanan tempatan dan aktiviti berasaskan alam semula jadi,” katanya ketika merasmikan Sabah Community-Based Tourism Fair (SCBTF) 2026 di pusat beli-belah Suria Sabah di sini pada 21 November, lapor Bernama.

Menurut Jafry, ketibaan pelawat ke produk pelancongan komuniti di Sabah meningkat 23.3 peratus, daripada 293,623 orang pada 2024 kepada 362,141 orang pada 2025. Peningkatan itu menjana pendapatan melebihi RM7 juta kepada masyarakat setempat dan menyumbang kepada ekonomi luar bandar.

Beliau berkata usaha memperluas sektor itu perlu disertai langkah memelihara tradisi, adat resam, kemahiran kraf dan pengetahuan tempatan, selain melindungi hutan, sungai serta hidupan liar yang menjadi sebahagian daripada tarikan pelancongan Sabah.

Jafry berharap SCBTF 2026 dapat membantu pengusaha komuniti memperkenalkan produk mereka, menjalin kerjasama dengan pemain industri dan mencapai pasaran lebih luas. Beliau turut menggalakkan pengendali pelancongan memasukkan lebih banyak pengalaman berasaskan komuniti dalam pakej dan itinerari perjalanan mereka.- BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat