RM900 Juta Diperuntukkan bagi Modenkan Sistem Imigresen Negara – Hamzah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperuntukkan kira-kira RM900 juta (2021-2022) bagi memenuhi keperluan Jabatan Imigresen dan memodenkan sistem imigresen negara.

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata bajet itu diluluskan bagi melaksanakan 61 projek fizikal dan bukan fizikal, dalam memastikan sistem imigresen negara bersifat lebih komprehensif, berteknologi tinggi, bersepadu dan mesra pelanggan.

“Semua projek ini selari dengan perkembangan teknologi terkini seperti Internet Benda (IoT), Big Data Analytics dan Kecerdasan Buatan (AI) agar imigresen sentiasa relevan dalam penyampaian perkhidmatan, dan kedaulatan serta keselamatan negara terpelihara,” katanya.

Menurutnya antara projek itu ialah pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin baharu, naik taraf pintu masuk negara, pelaksanaan Autamated Clearance System dan kaunter Bidirectional seperti di Bangunan Sultan iskandar di Johor.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis penyerahan kontrak Projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe), di sini, hari ini.

Hamzah berkata bagi memastikan NIISe berjalan lancar kerajaan melantik pihak ketiga untuk membantu mengawal selia, memantau, menilai, menguji dan mengaudit pelaksanaan projek sepanjang kitaran hayat pembangunan sistem untuk memastikan sistem yang dibangunkan memenuhi spesifikasi dan keperluan imigresen, serta berkualiti tinggi.

Beliau berkata keperluan untuk melantik pihak ketiga yang bebas merupakan faktor kritikal bagi mengurangkan kegagalan dalam pembangunan sesuatu sistem yang kompleks, berimpak tinggi dan menelan kos yang besar.

“Kerajaan telah melantik MIMOS Berhad sebagai Independent Project Management untuk menyediakan perkhidmatan pengurusan projek dan MIMOS Technology Solutions Sdn Bhd sebagai Pasukan Independent Verification and Validation (IV&V) yang bertindak melaksanakan verifikasi dan validasi ke atas sistem yang dibangunkan serta pengauditan terhadap peralatan yang dibekalkan.

“… serta Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Agensi Keselamatan Siber Negara, Majlis Keselamatan Negara dan Pejabat Keselamatan Kerajaan Malaysia untuk membantu pihak KDN memastikan pembangunan NIISe dapat berjalan lancar,” katanya.

Terdahulu Hamzah menyerahkan kontrak bernilai RM1.12 bilion bagi projek NIISe, iaitu sistem imigresen yang lebih canggih, bersepadu dan holistik dilengkapi teknologi terkini kepada pihak terlibat.

NIISe yang akan menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs) yang sudah beroperasi lebih 20 tahun dijangka beroperasi sepenuhnya pada tahun 2024. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,592FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat