Penternak giat maksimum pengeluaran ayam

KUALA LUMPUR – Penternak tempatan kini beroperasi pada tahap maksimum bagi mencapai semula keupayaan 106 peratus pengeluaran yang pernah dibuat sebelum ini, sehingga membolehkan ayam dieksport.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata pengeluaran maksimum diperlukan bagi memastikan kadar penggunaan antara 1.8 hingga dua juta sehari dapat distabilkan sebelum harga ayam diapungkan mengikut pasaran bermula 1 Julai.

Harga ayam selepas ini bakal ditentukan pasaran dan dijangka melebihi RM8.90 sekilogram berikutan kerajaan turut menarik subsidi RM1.40 yang diberikan kepada penternak sebelum ini.

“Jika keseluruhan ladang dan kilang dapat beroperasi secara maksimum, kita jangka boleh langkau keperluan ayam dua juta sehari kerana sejak sekian lama penternak mampu bekalkan keperluan tempatan sehingga ayam turut dieksport.

“Ketika ini, kita perhatikan bekalan ayam sudah kembali stabil sebelum memutuskan larangan eksport ditarik balik kerana larangan itu adalah bersifat sementara bagi menstabilkan bekalan dalam negara dahulu,” katanya selepas melawat kilang pengeluaran Bismi Empire di Alor Setar pada Selasa.

Memetik BH Ronald berkata, kerajaan juga dalam proses mempercepatkan bayaran subsidi berjumlah RM200 juta yang akan diserahkan kepada penternak ayam sebelum 1 Julai ini, selain terus memproses permohonan yang baharu dikemukakan.

Kerajaan sebelum ini, mengumumkan pemberian subsidi ayam berjumlah RM729.43 juta kepada penternak yang mengemukakan permohonan bertujuan menstabilkan harga pasaran ayam, namun hanya RM200 juta baharu dituntut setakat Khamis lalu (19 Jun).

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya akan memantau rantaian bekalan ayam bagi memastikan tidak berlaku elemen manipulasi pada harga ayam sehingga membebankan pengguna selepas harganya diapungkan.

“Kerajaan akan pantau harga ayam bagi memastikan tiada elemen meraih keuntungan berlebihan berlaku, kita tahu harga ayam di ladang dan kos input makanan sehingga kepada peringkat pemborong dan peruncit selepas ini.

“Bagi meringankan beban pengguna terutama golongan B40, subsidi akan diberikan kepada mereka dan Kementerian Kewangan akan tentukan bagaimana subsidi berkenaan dapat disampaikan segera,” katanya.

Sementara itu, mengenai bekalan lembu menjelang Aidiladha, beliau menjelaskan, kerajaan membenarkan import lembu hidup dibuat bagi memenuhi permintaan, namun ternakan itu perlu menjalani proses kuarantin ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

“Kita maklum penternak lembu hadapi masalah bekalan pada Aidiladha ini, jadi kita permudah import lembu hidup dari negara jiran dan tambah baik proses kemasukan termasuk kurangkan tempoh kuarantin bagi memastikan bekalan cukup.

“Sebelum ini, kita halang import lembu hidup kerana bimbang jangkitan penyakit Lumpy Skin Disease (LSD) yang boleh menjejaskan industri ternakan tempatan,” katanya.