KUALA LUMPUR – Kerajaan merangka beberapa tindakan hala tuju pengurusan banjir bagi meningkatkan daya tahan dan kesediaan negara menghadapi impak perubahan iklim.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan beliau hari ini telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia atau Malaysia Climate Change Action Council (MyCAC) secara dalam talian.

Katanya, ini merupakan Mesyuarat MyCAC yang ketiga selepas kali pertama dan kedua diadakan pada bulan April dan Oktober tahun 2021.

Mesyuarat ini turut dihadiri oleh Menteri-menteri Besar dan Ketua- ketua Menteri, Menteri-Menteri Kabinet, wakil Ketua Setiausaha Negara dan pakar dalam bidang perubahan iklim.

“Antara perkara yang dibincangkan termasuk hala tuju pengurusan banjir bagi meningkatkan daya tahan dan kesediaan negara menghadapi impak perubahan iklim.

“Hal ini berikutan Malaysia terdedah kepada impak perubahan iklim seperti hujan lebat yang mengakibatkan fenomena banjir besar.

“Ia kerana iklim Malaysia berkelembapan tinggi di samping bentuk muka buminya yang turut menyumbang kepada fenomena ini,” kata Perdana Menteri dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau antara tindaka yang akan dilaksanakan ialah Membangunkan Pelan Adaptasi Kebangsaan (MyNAP) yang merangkumi pelan tindakan dan strategi jangka panjang dan strategi pembangunan kebangsaan untuk sektor kesihatan awam, infrastruktur, keselamatan dan sumber air, pertanian serta perhutanan dan biodiversiti.

“Selain itu, menggalakkan kerajaan negeri untuk mengguna pakai Indeks Adaptasi Perubahan Iklim Malaysia bagi meningkatkan respons kepada impak perubahan iklim; dan
Mengintegrasi faktor perubahan iklim dalam peringkat perancangan, reka bentuk serta pelaksanaan projek-projek sektor air dan infrastruktur bagi mengurangkan risiko bencana banjir,” ujarnya.

Dalam pada itu kata Ismail Sabri lagi, mesyuarat hari ini turut membincangkan tentang cadangan penggunaan kenderaan elektrik (EV) dalam penganjuran acara-acara besar.

Ujarnya, inisiatif ini dijangka dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem kenderaan elektrik di negara ini selain mengurangkan pelepasan GHG secara berkesan.

“Ia juga berpotensi menarik pelaburan asing, mewujudkan peluang pekerjaan hijau serta menjimatkan subsidi bahan api oleh Kerajaan.

“Mesyuarat juga bersetuju dengan kerangka dasar pasaran karbon dibangunkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang menyediakan panduan asas bagi urus niaga kredit karbon di Malaysia,” kata beliau.

Menurut Perdana Menteri lagi, kerangka ini memberi penekanan kepada kepentingan dan kelebihan urus niaga kredit karbon di peringkat domestik bagi memastikan pelaksanaan mekanisme pasaran karbon dilaksanakan secara telus, sekali gus menepati piawaian antarabangsa serta menyumbang terhadap sasaran pengurangan pelepasan GHG negara.

Kata beliau pada masa ini, KASA sedang membangunkan Strategi Jangka Masa Panjang Pembangunan Rendah Karbon Negara selaras dengan aspirasi negara mencapai pelepasan GHG sifar bersih, seawalnya pada 2050.

“Komitmen dan usaha kerajaan dalam menerajui agenda perubahan iklim juga akan diteruskan dengan menyertai Persidangan Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (UNFCCC) ke-27 di Sharm El-Sheikh, Mesir pada 6 hingga 18 November 2022 yang merupakan persidangan tahunan bagi membincangkan isu global perubahan iklim.

“Saya akan mengetuai delegasi negara ke persidangan berkenaan bersama Menteri-Menteri Besar Ketua-Ketua Menteri dan Menteri Alam Sekitar dan Air.

“Selaras dengan aspirasi ‘Keluarga Malaysia Lestari’, Kerajaan Persekutuan bersama-sama kerajaan negeri dan pihak-pihak berkepentingan lain akan terus bekerjasama bagi memastikan keupayaan negara dalam menangani isu perubahan iklim dapat diperkukuhkan demi kesejahteraan Keluarga Malaysia pada masa kini dan akan datang,” katanya.