Dayang Senandung: Kreativiti melawan Sensitiviti

- Advertisement -

Segelintir anak-anak muda di media sosial memberontak memohon pengambaran drama Dayang Senandung terbitan Zeel Production Sdn Bhd (Zeel) dihentikan serta-merta kerana ia mencabar sensitiviti warna kulit manusia.

Semuanya bermula selepas penyanyi dan pelakon Wani Kayrie memuat naik klip video tariannya melalui aplikasi TikTok yang memaparkan muka dihitamlegamkan.

Tanpa usul periksa pengguna media sosial mula mengaitkan video tersebut dengan penghinaan kepada orang berkulit hitam dan kempen “black lives matter” di Amerika Syarikat.

Ada yang semberono menggesa akaun Wani Kayrie disekat dan dikenakan tindakan.

Apabila Wani menjelaskan beliau melakukan tarian dalam tik tok dengan ‘make up’ selepas pengambaran drama Dayang Senandung, maka serangan kumpulan ini berpanjangan pula kepada drama yang sedang menjalani pengambaran tersebut.

Kreativiti lawan Sensitiviti

Ada dua isu menarik di sini. Pertama komen terhadap video tik tok itu sendiri menampakkan kegagalan menghargai kreativiti tanpa menghakis sensitiviti. Video tersebut tidak memaparkan sebarang mesej yang menghina mereka yang kulit hitam.

Apa salah mewarnakan muka dengan warna hitam dalam persembahan tarian Tik Tok? Jika Wani Kayrie dengan bangga memaparkan solekan hitam legam mukanya dalam video Tik Tok, mengapa pula mereka yang berkulit sawo matang begitu sensitif tidak tentu sebab?

Video tersebut boleh sahaja dilihat sebagai tanda sokongan kepada kumpulan kulit hitam di Amerika Syarikat. Mereka yang berkulit cerah pun tidak segan silu menghitamkan muka mereka.

Isu kedua ialah cubaan menghalang penerbitan drama ‘Dayang Senandung’ atas alasan membawa idea-idea hitam itu jahat, putih itu baik dan tidak sensitif kepada perjuangan kulit hitam di Amerika Syarikat.

Sebenarnya dalam dongeng Dayang Senandung yang difilemkan pada tahun 1965, ia membawa kisah seorang puteri raja dari Ratnapura yang dilahirkan bertubuh hitam akibat terkena sumpahan dari seorang rakyat jelata yang bertubuh hitam.

Keseluruhan dongengan ini membawa pengajaran bahawa warna kulit tidak mencerminkan kedudukan dan keperibadian seseorang. Dayang Senandung yang hitam legam itu rupanya Puteri Raja. Dayang Senandung yang hitam legam itu sangat fasih membaca al-Quran.

Benar pada akhir cerita tersebut Dayang Senandung kembali berkulit cerah. Namun ia bukan menjustifikasi bahawa ia membawa mesej orang kulit hitam tidak bagus dan jahat. Dalam filem tersebut ramai mereka yang berkulit cerah juga jahat.

Dayang senandung penuh dengan pengajaran baik dan membawa mesej kejahatan dan keperibadian buruk tidak boleh dinilai oleh warna kulit.

Justeru adalah sangat misteri bagaimana sekumpulan netizen yang terlalu sensitif sehingga gagal memahami makna penceritaan Dayang Senandung.

Melalui Dayang Senandung, orang Melayu telah berbicara soal jangan mendiskriminasi warna kulit sejak zaman berzaman lama sebelum Amerika Syarikat mengapuskan penghambaan.

Political correctness

Kreativiti dan sensitiviti harus diuruskan berdasarkan kandungan (contents) sesuatu karya atau naratif. Kita tidak mahu kreativiti digunakan sebagai lesen melanggar sensitiviti masyarakat. Namun dalam masa yang sama penggunaan kawalan sensitiviti harus bertempat dan tepat.

Propaganda senstiviti jika tidak diurus dengan baik akan mematikan kreativiti dan menghakis intelektualisme rakyat. Apakah kerana senstiviti tidak bertempat nanti kita perlu mengubah semua kisah dan terma karya kreatif seperti ‘black magic’, ‘ilmu hitam’, ‘black market’ dan lain-lain?

Political correctness harus pada perubahan dalam polisi dan kehidupan masyarakat bukannya karya kreatif. Karya kreatif pula jangan sampai menghina masyarakat dan pegangan agama. Nyata dalam Dayang Senandung ia tidak mengambil pendekatan itu.

Adalah sangat berbahaya menguruskan masyarakat berdasarkan pandangan segerombolan ‘serigala lapar’ di media sosial yang mengamalkan ‘herd mentality’.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat