Pelajar Universiti Mungkin Dibenar Balik Kampung Selepas SOP Ketat Diteliti – Menteri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang meneliti kaedah terbaik untuk membenarkan pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi yang berada di kampus untuk pulang ke kampung masing-masing.

Bagaimanapun menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, perlu ada prosedur standard operasi (SOP) yang ketat bagi memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dielakkan.

Ini termasuk dengan mengadakan saringan kesihatan terlebih dahulu selain mengatur perjalanan supaya tidak berlaku pergerakan beramai-ramai secara serentak.

Ketika ini, kira-kira 100,000 pelajar IPTA/IPTS terkandas di kampus di seluruh negara susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Hasil pemantauan KKM, selepas sebulan mendapati tiada kluster COVID-19 di kampus dan pelajar-pelajar tidak menunjukkan gejala jangkitan COVID-19.

“Mesyuarat bersama KKM, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan memperhalusi SOP jika ada keputusan untuk membenarkan pelajar IPT pulang ke rumah masing-masing,” katanya semasa sidang media hari ini.

Selain itu, kerajaan juga katanya, sedang mempertimbangkan kemungkinan membenarkan orang ramai yang sedang berada di kampung untuk pulang semula ke bandar.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menegaskan rakyat tidak boleh leka dan mesti mematuhi arahan PKP meskipun kes positif Covid-19 menunjukkan trend penurunan.

Jelasnya, selagi PKP dikuatkuasakan dan kerajaan masih belum menemui SOP terbaik untuk membendung wabak Covid-19, semua pihak perlu mematuhi perintah berkenaan manakala penguatkuasa akan terus bertindak tegas terhadap individu yang ingkar.

“Terdapat negara yang berjaya mengawal jangkitan COVID-19 dan melonggarkan PKP mereka.

“Namun, akhirnya terdapat peningkatan mendadak selepas pelonggaran itu. Kerajaan perlu mengambil iktibar dari pengalaman negara berkenaan,” katanya lagi.

Setakat ini, pihak polis telah menangkap 16,870 individu yang ingkar PKP sejak ia dikuatkuasa 18 Mac lalu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat