MRSM Khas Kumpulan Kaya – Jangan ambil hak rakyat miskin

- Advertisement -

OLEH:  Ahmad Azaruddin Bin Azman

Penubuhan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang merupakan sebuah bantuan kepada orang Melayu Bumiputera yang berasal daripada kelompok miskin untuk melanjutkan pelajaran tidak sepatutnya diubah fungsi. Lebih-lebih lagi cadangan supaya diwujudkan sebuah MRSM Khas untuk kumpulan elit ini jelas menunjukkan bahawa asas penubuhan MRSM untuk membantu kumpulan berpendapatan rendah telah dieksploitasi untuk kepentingan kumpulan kaya.

Pada tahun 2022, Menteri Pembangunan Luar Bandar pada ketika itu, Datuk Seri Mahdzir Khalid telah menjelaskan kepada umum bahawa seramai 75,000 permohonan telah diterima oleh MARA untuk kemasukan ke MRSM seluruh negara, berbanding hanya 9,900 tempat sahaja yang tersedia untuk kemasukan. Jelas menunjukkan, MRSM merupakan sebuah institusi berprestij yang dipandang tinggi oleh masyarakat dengan penyediaan kualiti pendidikan yang terbaik di Malaysia.

Merujuk kepada paparan laman web MARA, MRSM mempunyai sebanyak 6 program berteraskan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) yang dilaksanakan di MRSM dengan perincian seperti berikut; 26 Program Premier, tiga (3) Program BITARA, tujuh (7) Program Ulul Albab, 15 Program IGCSE, tiga (3) program IB MYP, dan satu (1) Program Teknikal.

Setakat hari ini, menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, kuota kemasukkan ke MRSM iaitu 60 peratus bagi (B40), 20 peratus (M40), 15 peratus (T20) dan lima peratus untuk bukan bumiputera masih dikekalkan.

Oleh hal yang demikian, cadangan oleh Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi untuk menubuhkan sebuah lagi model atau program MRSM Khas untuk kumpulan kaya dilihat merupakan sebuah cadangan yang bertentangan dengan aspirasi yang digarap oleh Majlis Amanah Rakyat yang fokusnya adalah untuk membantu sebahagian besar bumiputera cemerlang yang tidak berkemampuan untuk mendapat kualiti pendidikan yang lebih baik.

Kumpulan T20 bukan sahaja merupakan kumpulan yang berkemampuan tinggi dari sudut kewangan, malah kumpulan ini juga mampu mendapat akses pendidikan yang terbaik, makanan yang bernutrisi tinggi, kelas kurikulum dan ko-kurikulum tambahan dan pelbagai lagi program terbaik atas kapasiti sendiri. Sedangkan, untuk kumpulan miskin, manfaat sebegini hanya mampu dinikmati oleh mereka di Sekolah Berasrama Penuh ataupun Maktab Rendah Sains MARA sahaja.

Tambahan lagi, jika diwujudkan sebuah MRSM Khas berbayar untuk kumpulan kaya, ianya bakal meluaskan lagi jurang perbezaan antara kumpulan anak miskin dan kaya yang sepatutnya tidak berlaku di dalam mana-mana peringkat Pendidikan baik peringkat rendah, menengah mahupun peringkat tinggi yang akan memberikan impak kepada moral pelajar-pelajar yang berasal daripada kumpulan miskin.

Walaupun begitu, cadangan yang dikemukakan oleh Datuk Dr. Asyraf Wajdi bukanlah satu cadangan yang boleh ditolak begitu sahaja. Permintaan untuk mewujudkan “model MRSM” untuk kumpulan kaya membuktikan bahawa MRSM merupakan sebuah institusi yang berjaya membina jenama dan prestigenya yang tersendiri.

Cadangan saya, program ini boleh diperluaskan melalui sokongan daripada pihak persendirian serta tidaklah melalui mana-mana agensi kerajaan terutamanya MARA memandangkan sebarang perbelanjaan duit rakyat sepatutnya digunakan untuk bantuan dan manfaat terus kepada kumpulan miskin.

Bersama kita membina generasi.

Penulis ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Yayasan Minda.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat