Anwar Sahkan Bukan Guan Eng Batal Pengecualian Cukai Yayasan Albukhary

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, membatalkan pengecualian cukai terhadap Yayasan Albukhary seperti didakwa sesetengah pihak sebelum ini.

Berpandukan rekod Kementerian Kewangan (MoF), Anwar selaku Menteri Kewangan mengesahkan Guan Eng tidak berbuat demikian ketika menyandang jawatan berkenaan.

Anwar berkata, kelulusan pengecualian cukai pendapatan kepada Yayasan Albukhary sebelum ini dibuat di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 (Akta 53).

“Kerajaan mengesahkan daripada rekod MoF bahawa Yang Berhormat Bagan (Guan Eng) ketika menjawat tidak pernah membuat sebarang pembatalan kepada kelulusan percukaian yang sebelum ini didakwa diberi kepada Yayasan Albukhary.

“Dakwaan beliau membatalkan pengecualian cukai adalah tidak benar.

“Hakikatnya, kelulusan hanya dibuat pada 25 Februari 2021 iaitu pengecualian cukai di luar kebiasaan, membabitkan Yayasan Albukhary dan Kumpulan Al-Bukhary,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) mengenai dakwaan Guan Eng membatalkan pengecualian cukai Yayasan Albukhary ketika menjawat jawatan Menteri Kewangan sebelum ini.

Anwar menjelaskan, kuasa pengecualian cukai di bawah Subseksyen 44(6) Akta 53 adalah kuasa mutlak Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), bukannya Menteri Kewangan atau Perdana Menteri.

Bagaimanapun lapor BH katanya, perkara berkenaan tidak boleh diulas lebih lanjut kerana kes berkaitan perkara itu masih dalam siasatan serta tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mahkamah.

“Cuma pendekatan kita tentu berbeza dari dulu iaitu meminta syarikat besar memindahkan kewangan besar, memberi pengecualian dan kemudian menderma kepada parti atau perseorangan.

“Saya memilih memanggil (Pengerusi Yayasan Albukhary) Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary memberi jaminan sokongan kepada projek yang memberi manfaat kepada negara dan bagi kepentingan pesawah miskin.

“Disebabkan ini membabitkan syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), saya minta dia (Syed Mokhtar) derma kepada pesawah secara langsung iaitu RM60 juta kepada pesawah,” katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau memilih pendekatan berbeza iaitu buat pertama kalinya BERNAS menyumbang 30 peratus keuntungan bersih yang direkodkan sejak lebih 20 tahun kepada pesawah.

“Jadi ada dua pendekatan, satu boleh serah kepada parti, kedua beri kepada pesawah. Saya pilih untuk serah kepada pesawah,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat