Bukan semua jalan rosak di Pahang bawah tanggung jawab kerajaan negeri

- Advertisement -

KUANTAN – Masih ramai belum faham perbezaan antara jalan negeri dan jalan Persekutuan sehingga ada mendakwa kerajaan Pahang tidak mengambil tindakan terhadap aduan kerosakan jalan di negeri ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, bagi jalan di bawah pemantauan kerajaan negeri, ia akan dilabel dengan tanda C, manakala jalan diselenggara kerajaan Persekutuan pula akan menggunakan label FT.

“Kalau kita tengok papan tanda ada yang label C itu maknanya bawah seliaan negeri dan jika kita jumpa tanda FT diikuti nombor tertentu yang biasanya kita nampak di papan tanda berhampiran susur masuk jalan utama, itu jalan Persekutuan.

“Inilah yang mungkin ramai belum faham dan bukan semua (jalan) di Pahang ini diuruskan oleh kerajaan negeri, kita menyelia dan memantau jalan berkenaan kerana ia dibina di Pahang, tapi untuk penyelenggaraan, ada (jalan) yang diuruskan kerajaan Persekutuan.

“Apa yang berlaku sekarang bajet belum diluluskan, sebelum ini ia (bajet) sudah dibentangkan pada bulan Oktober tahun lalu, tapi ia tidak sempat diluluskan kerana parlimen dibubarkan (bagi memberi laluan) untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Jadi, bajet akan dibentangkan semula pada 24 Februari ini dan selepas itu, kita tunggulah berapa peruntukan diterima Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan jabatan itu di Kuantan, hari ini.

Mohammad Fakhruddin berkata, pihaknya melalui JKR memohon peruntukan berjumlah RM400 juta untuk kerja penyelenggaraan dan baik pulih jalan rosak di negeri ini.

Katanya, walaupun jumlah itu mungkin tidak diperoleh, namun kerajaan Pahang berharap kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan permohonan itu secara serius.

“Peruntukan RM400 juta itu adalah untuk semua kerja baik pulih, selenggara dan ia bukan saja untuk kerja membabitkan jalan negeri, tetapi turut membabitkan jalan Persekutuan.

“Jumlah yang kita mohon itu juga sesuailah kerana di Pahang ini rangkaian jalannya lebih 6,000 kilometer (km)- 3,000 km adalah jalan negeri dan 3,000 km lagi jalan Persekutuan.

“Kalau tidak dapat (RM400 juta), mungkin kerja penyelenggaraan tidak boleh dilakukan seperti yang kita sasarkan,” katanya lagi.

Ketika ditanya mengenai punca utama kelewatan kerja baik pulih kerosakan jalan, Mohammad Fakhruddin memberitahu isu utama ialah ketiadaan peruntukan disalurkan kepada syarikat konsesi yang diberi tanggung jawab menyelenggara jalan Persekutuan di Pahang.

“Sekarang ini dah hampir lima bulan (tidak ada peruntukan) kerana bajet di peringkat Persekutuan belum diluluskan.

“Jadi, bagaimana nak buat kerja kalau peruntukan tidak ada, sekarang pun kita memohon peruntukan kecemasan untuk kerja menampal jalan rosak dan ini hanyalah penyelesaian jangka pendek,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat