KUALA LUMPUR – Tujuh penjawat awam di Selangor yang ditahan bagi membantu siasatan kes pindah milik tanah secara tidak sah disahkan sebagai kakitangan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Klang.
Perkara itu dijelaskan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) Datuk Dr Yusri Zakariah.
“Kesemua tujuh kakitangan berkenaan adalah kakitangan PTD Klang dan mereka sudah dipindahkan ke jabatan lain.
“Mereka diletakkan di jabatan yang tidak membabitkan kerja tanah sementara menunggu siasatan penuh dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya ketika diminta mengulas berkaitan kakitangan PTGS didakwa terbabit dalam kegiatan pindah milik tanah secara tidak sah, lapor BH pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya juga membuat siasatan dalaman berhubung kejadian itu dan ia dipercayai berlaku ketika proses penukaran sistem lama ke sistem baharu (sistem e-tanah).
Katanya, PTGS juga bekerjasama kepada polis dengan memberi keterangan, bukti dan sebagainya kepada pihak berkuasa berkenaan.
Ditanya apakah inisiatif PTGS bagi memastikan insiden berkenaan tidak berulang, Yusri berkata, ia berlaku kerana sikap atau integriti individu itu sendiri yang mana mereka mengambil peluang melakukan penukaran ketika pelaksanaan sistem lama ke sistem baru.
“Mereka ambil peluang lakukan perkara tidak berintegriti. Kalau kita baca laporan akhbar, ia ada membabitkan sindiket luar yang mempengaruhi dan menjadikan anggota pejabat tanah itu sebagai orang dalam untuk membuat penukaran data dalam sistem.
“Mungkin kakitangan juga kurang integriti. Justeru, apa yang kami buat sekarang adalah memfokuskan kepada peningkatan integriti dan cegah rasuah dalam kalangan kakitangan,” katanya.
Dalam pada itu, Yusri turut menasihati pemilik tanah untuk sentiasa menyemak hak milik serta cukai tanah bagi memastikan ia dibayar serta nama pada geran adalah pemilik sebenar.
“Buat semakan sekurang-kurangnya setahun sekali dengan membuat carian persendirian. Pastikan nama di geran itu nama kita,” katanya.
Sementara itu, mengulas berkaitan jentera low loader berkenaan, Yusri berkata, ia adalah perolehan daripada kerajaan negeri bagi memudahkan kerja penguatkuasaan dilakukan dengan lebih kerap dan cepat.
Katanya, treler berharga hampir RM1 juta itu akan digunakan untuk membawa rampasan penguatkuasaan seperti lori, jentolak dan lain-lain.
“Sebelum ini, kita meminjam daripada agensi serta majlis perbandaran yang ada jentera sebegini. Sekarang dengan adanya low loader ini, kita boleh laksanakan kerja penguatkuasaan dengan lebih kerap,” katanya.