KUALA LUMPUR -Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menyelesaikan siasatan terhadap individu didakwa sebagai pemberi maklumat serta bekas CEO sebuah syarikat yang dikaitkan dengan skandal perlombongan di Sabah yang melibatkan beberapa Adun negeri itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, berkata kertas siasatan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya (DPP).
“Terpulang kepada DPP untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita di Putrajaya pada Selada.
Bulan lalu, Azam berkata SPRM menyiasat individu yang didakwa sebagai pemberi maklumat yang dipercayai mempunyai maklumat berkaitan amalan rasuah membabitkan beberapa Adun Sabah dalam kelulusan lesen penerokaan.
Pada November, SPRM memanggil bekas CEO Sabah Mineral Management (SMM) Sdn Bhd, Jontih Enggihon, bagi membantu siasatan.
SMM sebelum ini menuduh Jontih melakukan pelanggaran amanah fidusiari, penipuan, dan salah laku. Bagaimanapun, beliau menafikan semua dakwaan tersebut.
Sebelum ini, seorang pemberi maklumat mendakwa memiliki rakaman video melibatkan perbincangan pemberian wang kepada ahli politik sebagai balasan bagi mendapatkan lesen cari gali mineral.
Sumber itu turut mendakwa lesen-lesen tersebut telah disyorkan kepada SMM tanpa sebarang proses semakan wajar.