KUALA LUMPUR- Selepas terpalit kontroversi pemilikan saham dan pada akhirnya dibuktikan tidak bersalah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki mahu meletakkan fokus kepada kerjayanya memerangi rasuah.

Hal ini kata Azam kerana ia dilihat sebagai perkara paling utama ketika ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu pemilikan saham yang masih diperkatakan sesetengah pihak.

Menurut Azam, lebih penting baginya adalah mahu kekal fokus kepada tugas yang diamanahkan dalam mengemudi SPRM membanteras rasuah tanpa mengira darjat atau pangkat selepas dilemparkan pelbagai tohmahan.

“Mahu fokus kerja saya. Bagi saya, ini jauh lebih penting. Kita perlu fokus kepada perkara yang lebih utama,” katanya, menurut laporan Utusan Malaysia.

Azam enggan mengulas lanjut isu berkenaan meskipun siasatan Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah menutup fail inkuiri tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga sebelum ini meminta semua pihak berlapang dada menerima keputusan SC.

Selasa lalu, media melaporkan siasatan SC tidak menemui kepastian muktamad bahawa Azam melakukan kesalahan berhubung isu pemilikan saham dalam syarikat tersenarai pada 2015-2016.

Dalam kenyataan ringkas, SC menyatakan ia telah menjalankan siasatan dan berdasarkan bukti yang ada “SC tidak dapat memastikan secara konklusif berlaku kesalahan bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat).”

Seksyen 25(4) menetapkan semua akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mesti menggunakan nama pemilik pemanfaat sekuriti deposit atau penama yang dibenarkan.