Shafee gagal dapat kebenaran merayu untuk padam afidavit

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang enggan memadamkan afidavit yang mengandungi dakwaan bahawa beliau menerima RM9.5 juta daripada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Panel tiga hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf memutuskan bahawa semua perkara yang ingin dibangkitkan Muhammad Shafee dalam prosiding hari ini, boleh dikemukakan dalam perbicaraan rayuan utama di Mahkamah Rayuan yang dijadualkan pada Mac.

Keputusan itu dibuat setelah peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Muhammad Shafee, bersetuju untuk menarik balik permohonan kebenaran untuk merayu sekiranya pihak-pihak bersetuju bahawa isu mengenai pengesahan afidavit tersebut belum dapat ditentukan.

Peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan bagi pihak kerajaan berhujah bahawa permohonan kebenaran merayu Muhammad Shafee adalah terlalu awal kerana isu kebolehterimaan afidavit itu boleh dibangkitkan dan ditentukan di Mahkamah Rayuan.

Prosiding hari ini di hadapan Rohana serta hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dijalankan secara dalam talian.

Muhammad Shafee memohon mendapatkan kebenaran untuk meneruskan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak untuk memadamkan afidavit pegawai tugas khas bekas peguam negara Tan Sri Tommy Thomas.

Afidavit difailkan Siti Rahayu Mohd Muzamani, yang mengandungi dakwaan bahawa RM9.5 juta telah dibayar kepada Muhammad Shafee dari akaun bank Najib antara 2013 dan 2014.

Mahkamah Rayuan pada 2018, bagaimanapun, membenarkan Muhammad Shafee mencelah dalam rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tindakan sivilnya terhadap kerajaan atas sabitan liwat terhadap bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar, Ahli Parlimen Port Dickson, mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 Nov 2017 yang membenarkan permohonan kerajaan untuk membatalkan saman pemulanya dan rayuan itu dijadualkan didengar pada 5 Mac.

Dalam saman pemula yang difailkan pada 9 Jun 2017 terhadap kerajaan, Anwar memohon perisytiharan bahawa sabitan terhadap beliau oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 adalah ultra vires terhadap Perlembagaan Persekutuan dan dengan itu adalah batal dan tidak sah.

Beliau juga memohon untuk membatalkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang telah mengekalkan sabitannya.

Dalam afidavitnya, Anwar mendakwa Muhammad Shafee menerima RM9.5 juta daripada Najib untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan berhubung sabitannya bagi kesalahan meliwat.

Anwar disabitkan dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan meliwat Mohd Saiful dan keputusan itu telah dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan. Anwar, bagaimanapun diberikan pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei 2018.

Peguam J. Leela mewakili Anwar manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan bersama Suzana bagi pihak kerajaan.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat