Jumlah Mangsa Banjir Di Sabah Meningkat Sedikit, NGO Turut Hulur Bantuan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Satu-satunya negeri yang masih terjejas akibat banjir, Sabah merekodkan sedikit peningkatan jumlah mangsa banjir kepada 445 orang daripada 135 keluarga petang ini berbanding 443 orang daripada 134 keluarga pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi di empat daerah iaitu Beaufort, Kota Belud, Papar dan Tenom.

Beaufort merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi seramai 249 orang daripada 76 keluarga; Kota Belud (129 orang daripada 35 keluarga); Papar (41 orang daripada 18 keluarga) dan Tenom (26 orang daripada lima keluarga).

Secara keseluruhannya, sebanyak 111 kampung masih terjejas banjir setakat ini, selain hujan di beberapa daerah termasuk Kota Belud dan Beaufort.

Dalam pada itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut giat menjalankan misi bantuan bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara.

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) telah menggerakkan usahawan yang menjadi tulang belakang pertubuhan itu dengan mengutip sumbangan bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara dengan jumlah sumbangan yang diterima setakat ini berjumlah hampir RM400,000.

Timbalan Presiden DPMM Norsyahrin Hamidon berkata inisiatif kali ini bukan sahaja tertumpu kepada sumbangan makanan dan pakaian, malah turut melibatkan peralatan elektrik seperti mesin basuh.

“Ini kerana DPMM memahami kerumitan mangsa banjir yang kehilangan harta benda akibat bencana banjir apatah lagi ketika berdepan dengan pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain sumbangan daripada usahawan, DPMM turut menerima sumbangan orang awam melalui kempen yang dilaksanakan dalam media sosial selain mendapat sokongan daripada beberapa selebriti tanah air bagi mencapai matlamat tabung kutipan.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh melakukannya melalui nombor akaun Maybank : 5643 2413 7896 dengan menulis rujukan Misi Bantuan Banjir atau melalui laman web khas yang ditaja oleh sumbangan.com di https://sumbangan.com/DPMM/BanjirDPMM.

Selain itu, Pusat Pencegahan dan Kesiapsiagaan Bencana (DPPC) dari Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur telah melaksanakan satu misi selama lima hari bagi mencapai 11 objektif sejak 8 Jan lepas melibatkan Johor dan Pahang.

Sebelas objektif misi itu termasuk pelaksanaan penilaian pantas di lokasi yang dikunjungi iaitu di Kluang – Johor Bahru – Kota Tinggi – Mersing – Pekan – Kuantan – Maran – Jerantut – Temerloh.

Ia termasuk mengkaji kesan monsun yang mengakibatkan banjir di sungai, tanah runtuh dan fenomena yang berkaitan dengan bencana sambil meneroka amalan baik, penanda aras komitmen tempatan, memahami keperluan dan tuntutan risiko yang diperlukan. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat