Negara tak perlukan MPN lagi, Muhyiddin boleh letak jawatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa gagal memainkan peranannya sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Sedangkan fungsi tugas MPN ialah menasihati kerajaan dalam memulihkan ekonomi.

Exco Pemuda Umno, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, dari awal lagi peranan Muhyiddin sebagai pengerusi dilihat gagal kerana tidak membuahkan hasil dan berfungsi hanya sebagai penasihat kepada kerajaan.

“Pengerusi MPN, Muhyiddin kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob gagal dalam mengurus negara kerana beberapa masalah ekonomi negara seperti inflasi, kejatuhan Ringgit dan sebagainya.

“Muhyiddin perlu cermin dirinya sendiri. Siapa yang gagal? Yang gagal adalah kamu sendiri sebagai Pengerusi MPN,” bidas Najmil dalam kenyataan pada Selasa.

Hal demikian katanya adalah lebih baik jika Muhyiddin letak jawatan sebagai Pengerusi MPN.

“Negara telah pun pulih dan kita tidak perlukan lagi MPN,” gesa beliau.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu juga mengingatkan Muhyiddin bahawa Menteri Ekonomi dari Bersatu.

Malah katanya, begitu juga Menteri Kanan Perdagangan, Datuk Seri Azmin Ali.

“Mereka ini yang mengurus ekonomi negara.

“Dekat sini kita dah nampak yang Presiden Bersatu sendiri kata Menterinya gagal tanpa sedar. Itu pun ada hati nak jadi Timbalan Perdana Menteri (TPM),” sindir beliau.

Bahkan kata Najmil Faiz lagi, MPN ini hanya untuk memberikan Muhyiddin jawatan dalam kerajaan sahaja.

“Tugas menasihati kerajaan ini boleh dilakukan oleh pelbagai agensi seperti Unit Perancang Ekonomi dan juga institut penyelidikan lain.

“Apa guna Muhyiddin duduk di MPN ini kalau kenyataannya yang dikeluarkannya bercanggah dengan dasar kerajaan,” soal beliau.

Dalam pada itu kata Najmil, rakyat dapat menilai kejayaan Ismail Sabri dalam memulihkan negara.

“Dalam masa setahun mentadbir, pelbagai kejayaan telah kita capai.

“Antaranya, kadar pengangguran telah turun. Begitu juga Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tertinggi di Asia Tenggara bagi suku kedua tahun 2022 iaitu 8.9 peratus. Malaysia berjaya mengatasi Singapura (4.8 peratus) dan Indonesia (5.4 peratus).

“Nilai jualan borong dan runcit meningkat kepada RM 132.8 bilion untuk Jun 2022 serta mengatasi prestasi terbaik sejak 2013,” ujarnya.

Beliau juga menyebut, inflasi Malaysia terendah di Asia Tenggara hanya pada 3.4 peratus dan dijangka mengalami inflasi yang paling rendah sekitar 3.2 peratus tahun ini jika dibandingkan dengan negara serantau lain

Bahkan katanya, pelaburan langsung asing (FDI) dalam masa 9 bulan Ismail Sabri mentadbir adalah RM 74.1 bilion dan mengatasi jumlah FDI tahunan 2021, 2020, 2019 dan 2018.

Tegas Najmil Faiz, fakta dan data langsung tidak menunjukkan kerajaan gagal dalam mengurus ekonomi.

“Hanya Muhyiddin dan Pakatan Harapan (PH) saja yang kata kerajaan gagal. Janganlah disebabkan cemburu dengan kejayaan Perdana Menteri, kamu mula mereka cerita bohong,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat