Zakaria tamat kontrak Pengerusi FINAS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Selepas dua tahun perkhidmatan Zakaria Abdul Hamid selaku Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bersama timbalannya, Datuk Norman Abdul Halim dan ahli perbadanan lain, kontrak mereka berakhir pada 22 Mei ini.

Sepanjang tempoh itu, Zakaria berkata, pihaknya sudah sedaya upaya membantu warga industri kreatif terutama ketika menghadapi ujian getir era pandemik COVID-19 sejak 2020.

“Menyingkap bermulanya khidmat kami sejak 2020, pelbagai inisiatif bagi membantu penggiat industri perfileman yang terkesan dengan pandemik COVID-19 dilaksanakan FINAS.

“Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA), Dana Kandungan Digital (DKD) Mikro PRISMA Outreach dan dana pemasaran bernilai lebih RM70 juta diperuntukkan bagi penghasilan 1,307 projek dengan hak harta intelek (IP) dimiliki penerbit kandungan berkenaan.

“Susulan itu, FINAS berjaya mewujudkan lebih 60,000 peluang pekerjaan melalui program-program berkenaan.

“Dalam tempoh ini, kami juga sudah menjalankan kajian bagi menyediakan Pelan Pemerkasaan dan Transformasi FINAS 2022 sehingga 2024 dengan fokus menjadikan FINAS sebagai badan berkanun yang lebih proaktif dan profesional dengan sokongan padu Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOM),” katanya kepada BH Online.

Tidak hanya itu, kata Zakaria, menerusi program Ziarah FINAS Prihatin yang dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik pula menyalurkan perbelanjaan sebanyak RM5 juta dalam bentuk bantuan kewangan dan barangan kepada lebih 1,500 warga industri yang memerlukan.

“Kami juga berjaya memudahcara proses permohonan 25 unit kediaman untuk penggiat seni yang layak berserta kelengkapan perabot asas di bawah Inisiatif Perumahan Komuniti Seni Prihatin yang diusahakan FINAS serta Jabatan Perumahan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Sepanjang dua tahun ini, FINAS mewujudkan program Peningkatan Kapasiti Kreatif Malaysia (MyCAP) sebagai platform pangkalan data industri dan melancarkan Sistem Pengurusan dan Pemantauan Industri Kreatif (SPPIK) untuk urusan pelesenan secara digital yang berfungsi sebagai sistem saringan bagi dana kendalian FINAS,” katanya.

Namun, Zakaria tidak menafikan, sepanjang tempoh itu pasukannya berdepan dengan cabaran besar dan pelbagai masalah yang belum pernah berlaku dalam industri perfileman dan negara.

Namun, katanya, aktiviti kebajikan bagi kesejahteraan warga industri perfileman yang memerlukan bantuan tetap diteruskan kerana FINAS tidak pernah lupa objektif utama penubuhan FINAS iaitu memacu perkembangan industri perfileman tanah air ke persada antarabangsa.

 

Zakaria dan timbalannya, Norman bersama ahli perbadanan FINAS penggal 2020-2022 berusaha membantu warga industri kreatif terutama ketika menghadapi ujian getir era pandemik COVID-19. – Foto Ihsan FINAS

 

Kata Zakaria, sempena tamat kontrak perkhidmatannya, dia dan ahli perbadanan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

“Ia adalah peluang diberikan untuk menyelesaikan tugas sebaik mungkin sehingga tamat tempoh lantikan kami,” katanya.

Zakaria berkata, ahli perbadanan sudah membuat pemantauan dan mengadakan sesi libat urus dengan semua pengarah dan ketua unit di FINAS bertujuan untuk mengukuhkan dasar, peraturan dan kawal selia ekosistem, sejak Oktober tahun lalu.

“Selain itu, ia juga bertujuan mentransformasikan sistem, perkhidmatan dan tadbir urus organisasi melalui dasar berpandukan data serta teknologi digital.

“Dalam masa sama, ia meningkatkan daya saing, ekonomi dan produktiviti industri berteraskan pemerkasaan modal insan ke arah menjadi jaguh di peringkat global.

“Kesemua dapatan sepanjang tempoh lantikan dan syor termaktub dalam Pelan Pemerkasaan dan Transformasi FINAS juga sudah diluluskan melalui Mesyuarat Khas Ahli Perbadanan pada 10 Mei 2022.

“Ia bakal dijadikan rujukan ahli perbadanan baharu yang bakal dilantik, selain panduan kepada pengurusan FINAS untuk meneruskan kesinambungan pembangunan industri dan organisasi,” katanya.

Katanya, matlamat utama dokumen itu dikatakan sebagai landasan hala tuju FINAS yang akan bertahan dan menjangkau tempoh perkhidmatan mana-mana individu.

Justeru itu, Zakaria mewakili ahli perbadanan 2020 sehingga 2022 mengucapkan selamat maju jaya kepada semua warga industri perfileman dan kakitangan FINAS.

“Semoga warga industri perfileman dan FINAS akan terus berganding bahu menjadikan industri kreatif sebagai salah satu penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dalam masa yang terdekat ini.

“Juga, penghargaan saya kepada rakan-rakan media yang terus memberi sokongan padu dalam tempoh perkhidmatan kami,” katanya.

Turut meluahkan penghargaan adalah Norman dan ahli perbadanan dari industri perfileman seperti Profesor Datuk Razak Mohaideen, Datuk Norhayati Mohd Ismail, Tuan Ku Mohamad Haris Ku Sulong, Lina Tan Suan Jeu dan Denes Kumar Ragupathy.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat