Laris macam pisang goreng panas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jualan tiket memberangsangkan dengan kerusi VIP habis ditempah sebaik dibuka, membuktikan Konsert Anuar Zain dan Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 pada 6 Ogos depan, cukup dinantikan peminat.

Biarpun bukan kali pertama dua beradik ini disatukan dalam konsert kerana pernah berganding pada sebuah persembahan sempena Aidilfitri pada 2011, namun, ketika itu, peminat tempatan tidak berpeluang menyaksikannya kerana dipentaskan di Singapura.

Semakan BH Online mendapati, sebaik sahaja dibuka untuk jualan, tiket kategori VIP berharga RM1,188 dan kategori Silver bernilai RM292 untuk konsert menggandingkan dua vokalis hebat itu habis dijual.

Berkongsi keterujaan menjayakan konsert itu, Anuar berkata, misi mereka adalah untuk memberi kepuasan maksimum kepada peminat yang sekian lama menantikan saat itu.

Justeru, Anuar berkata, mereka tidak memerlukan gimik, sebaliknya, mempertaruhkan persembahan yang memberi penuh makna buat peminat.

“Saya tidak tahu Kak Ziana, tetapi bagi saya, secara peribadi, saya lebih mengutamakan merit dalam persembahan. Ada orang suka buat gimik. Masing-masing ada pendapat dan cara tersendiri. Tidak ada siapa salah dan tiada yang betul.

“Semuanya terpulang kepada penyanyi itu sendiri. Saya lebih suka terus menyanyi kerana saya hendak cipta penjiwaan dalam nyanyian.

“Saya juga mahu mewujudkan hubungan dua hala yang utuh bersama peminat. Saya takut jika saya buat gimik, saya hilang fokus dan terlupa kepada peminat di bawah sana.

 

Ziana dan Anuar enggan menjadikan konsert bersama sebagai pentas ‘perang’ vokal sebaliknya mahu memberikan persembahan menyentuh hati peminat setia mereka. – NSTP/Amirudin Sahib

 

“Saya tahu ramai sahabat saya mampu membuat gimik dan hasilnya sangat menakjubkan.

“Jadi, biarlah saya tumpukan kepada persembahan kerana pada malam itu, penonton adalah selebriti dan tugas saya hanyalah untuk menghiburkan mereka.

“Menerusi nyanyian, saya mahu peminat rasa diri mereka disayangi, tenang dan selesa sepanjang konsert,” katanya pada sidang media mengumumkan Konsert Anuar Zain dan Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 di ibu negara, semalam.

Konsert berdurasi 90 minit itu bakal dipentaskan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 6 Ogos depan, jam 8.30 malam.

Sementara itu, Ziana berkata, dia dan adiknya enggan menjadikan pentas itu sebagai medan menguji kehebatan vokal.

“Sebenarnya, kita sudah tidak perlu berlawan-lawan vokal. Zaman itu sudah lama berlalu, iaitu 30 tahun lalu ketika kami masih muda.

“Sekarang fokus kami adalah bagaimana untuk menyampaikan nyanyian dengan lebih beremosi.

“Kita hendak bagi aura. Ini bukanlah konsert untuk berlawan kehebatan vokal. Rasanya semua orang sudah tahu kemampuan kami.

 

 

“Sekarang fokus kami adalah untuk memikirkan bagaimana hendak menyanyi dengan penuh emosi supaya penjiwaan sampai kepada penonton.

“Kita hendak bagi mereka aura dan ‘vibes’ terbaik… Itu sahaja,” kata penyanyi yang mula meledak menerusi lagu Madah Berhelah ini.

Tiket Konsert Anuar Zain dan Ziana Zain Live In KL boleh dibeli secara dalam talian di laman web https://www.excitix.com.my/event/18/Anuar-Zain-&-Ziana-Zain-Live-In-Kual… atau menghubungi talian 010-309 8998 untuk maklumat lanjut.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat