Gagal lucut hak RM114 juta, Najib lega nama bersih, reputasi pulih

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menzahirkan rasa syukur dan lega dengan keputusan Mahkamah Tinggi di sini hari ini berhubung penolakan pemohonan kerajaan melucut hak wang tunai sebanyak RM114 juta yang disita dari Pavilion Residences pada tahun 2018.

Malah katanya, keputusan hari ini telah membersihkan nama serta reputasinya sebagai seorang individu dan pemimpin.

Najib memberitahu, pelbagai tohmahan yang dilemparkan terhadapnya selama ini akhirnya terbukti tidak lebih sekadar fitnah semata-mata apabila mahkamah sendiri mendapati wang sitaan itu bukanlah hasil aktiviti salah dana 1Malaysia Developement Berhad (1MDB).

“Syukur. Alhamdulliah, mahkamah menolak permohonan pihak pendakwaan untuk melucut wang tunai yang disita di Pavilion Residences pada 2018, asasnya kata mahkamah hari ini tidak ada bukti sama sekali wang tunai itu adalah hasil daripada dana 1MDB.

“Jadinya, tidak ada kesalahan utama mengapa harta itu perlu dilucut hak oleh kerajaan.

“Ini adalah satu kejayaan besar untuk saya bersihkan nama dengan selama ini pelbagai tuduhan telah dilemparkan kepada saya. Cemar reputasi saya sebagai pemimpin dan juga individu kononnya saya perompak, penyangak dan sebagainya.

“Mahkamah telah menolak fitnah itu, semua tuduhan itu tidak lain tidak bukan selain daripada berniat jahat, kata-kata kesat dilempar tetapi akhirnya hari ini terbukti semua itu tidak benar,” katanya.

Dalam ulasannya Najib berkata seperti yang telah diulangnya beberapa kali sejak tiga tahun lalu, wang tersebut sebenarnya dipindah dari peti besi PMO pada malam BN kalah PRU14 dan diletakkan sementara di kondo sebelum disita pada hari berikutnya.

“Kerajaan PH tahu ianya dipindah dari PMO ke sana tapi mereka tetap sita sebab nak mainkan propaganda bahawa Najib korup dan curi ratusan juta wang tunai dari 1MDB untuk simpan di kondo tersebut bukan di kediaman saya.

“Wang tersebut adalah sumbangan politik bagi kita menghadapi PRU14 dan ia diterima daripada pelbagai pihak, termasuk VVIP amat terkenal.

“Dari dulu lagi, senarai penyumbang sudah saya beri kepada polis dan penyumbang juga telah mengaku kepada polis apabila dipanggil. Mana mungkin BN tak ada wang tunai untuk berkempen PRU14,” jelas Najib.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan kerajaan untuk melucut hak wang tunai sebanyak RM114 juta yang disita oleh polis selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

 

Kata Muhammad Jamil, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah gagal membuktikan wang tunai RM114 juta itu sebenarnya mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1MDB malah pendakwaan juga tidak berjaya membuktikan wang yang telah disita itu sebenarnya hasil aktiviti penyewelengan pecah amanah (CBT).

Jelas beliau, tiada bukti yang dikemukakan kepada mahkamah bagi menunjukkan perkaitan antara dana yang diseleweng daripada 1MDB dengan wang tunai yang disita dari Pavilion Residences.

“Saya dengan ini menolak permohonan untuk pelucuthakan wang tunai RM114 juta yang telah disita pada 2018,” katanya.

Sebelum ini, pendakwaan memfailkan permohonan itu bagi menyita pelbagai barang termasuk 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 jam tangan aksesori, 234 pasang cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44.

Wang dan barang kemas itu dirampas oleh pihak berkuasa kerana didakwa terbabit dengan skandal dana 1MDB.

Dana tersebut adalah sebahagian daripada wang tunai, perhiasan dan aset lain berjumlah RM680 juta yang dirampas pada tahun 2018 dari unit kondominium di Pavilion Residences, Kuala Lumpur, yang dimiliki oleh Obyu Holdings Sdn Bhd.

Obyu adalah satu-satunya responden dalam saman pelucutan berkaitan 1MDB manakala UMNO dan bekas Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak antara yang memohon untuk menjadi pihak ketiga bagi menuntut aset dan wang yang disita oleh pihak berkuasa dari Pavilion Residence di Kuala Lumpur pada tahun 2018.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat