Oleh Zihan Zari
JITRA – Pensyarah Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) mengharumkan Malaysia apabila berjaya merangkul 2 pingat emas dan 2 pingat perak dalam Bangkok International Intellectual Property, Invention, Innovation And Technology Exposition (IPITEx 2025) – ‘Thailand Inventors Day 2025’ di Bangkok International Trade & Exhibition Centre (BITEC), baru-baru ini.
POLIMAS dalam kenyataannya memaklumkan, pasukan POLIMAS terdiri daripada pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi.
Mereka meraih emas pertama melalui projek inovasi bertajuk, ICOMPEX Management System V2.0 (iCMS) yang telah dibentangkan oleh Ketua Pasukan, Ts Azimah Ismail, Ts Izyan Wahida Zainudin dan Norhazaliana Affendi.
“iCMS V2.0 dibangunkan untuk membantu penganjuran program berprestij di peringkat antarabangsa, dalam mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) POLIMAS, seterusnya menjadi terkenal dalam bidang penyelidikan, inovasi, dan pembangunan.
“Perbincangan mengenai keperluan untuk menangani isu penyelidikan dan mencadangkan penambahbaikan, daripada pendekatan manual kepada separa manual.
“Akhirnya telah dibangunkan sistem yang mengintegrasikan maklumat dengan lebih berkesan, membawa kepada pembangunan sistem maklumat yang terintegrasi dan cekap, iaitu iCMS V2.0, ”kata kenyataan itu.
“Pingat emas kedua pula diraih melalui Projek Inovasi Kedah e-Heritage yang dibentangkan oleh Nor Azida Ishak,Ts. Nurhidayah Azhar dan Ts. Nadia Che Abd Rani.
“Projek ini merupakan satu aplikas dibina bagi menyediakan platform untuk mendapatkan maklumat mengenai bangunan warisan Kedah yang terdapat di pusat Bandaraya Alor Setar.
“Ia dibangunkan dengan harapan dapat melahirkan satu aplikasi/platform di alam maya bagi meneroka keunikan sejarah serta keunikan senibina bangunan bersejarah yang terdapat di Bandaraya itu.
“Melalui e-JejaK hasil-hasil kajian Lukisan Terukur dapat dikompilasi dalam bentuk Website, Wonda VR, Youtube, MyMaps, dan ArcGIS untuk rujukan dan kajian kepada pihak luar,”katanya.
“POLIMAS turut memperolehi 2 pingat perak dari projek inovasi Re-PlasBloc yang dibentangkan oleh Ts Azimah , Ts Masniza Yusof, dan Salwa Samsuri.
“Projek ini memaparkan cara inovatif dan lestari, menggunakan semula sisa plastik ‘polietilena’ berketumpatan tinggi daripada produk bahan buangan detergen dengan resepi sebatian tersendiri bagi membantu mencipta bahan binaan yang mesra alam dan mampu milik,”katanya lagi.
Manakala, pingat perak kedua dimenangi oleh Haslina Abu Bakar, dan Siti Nor A’khidah Samsudin melalui projek inovasi ARCALIB iaitu Perpustakaan Akademik Realiti Terimbuh mengintegrasikan teknologi realiti terimbuh ke dalam perpustakaan akademik bagi meningkatkan interaksi pengguna dengan e-buku.
Ts Azimah berkata kemenangan ini menjadi bukti pensyarah POLIMAS mempunyai keupayaan dan kepakaran untuk menghasilkan inovasi terkini setanding dengan pensyarah dari universiti lain dari luar negara.
“Kejayaan yang kita capai hari ini adalah hasil daripada dedikasi, kreativiti, dan kerjasama yang luar biasa secara berpasukan,”katanya.
Dalam pada itu, Pengarah POLIMAS, Hj. Rosli Idris berkata kejayaan ini merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan kepada POLIMAS kerana pensyarahnya mampu dan berdaya saing di dalam menghasilkan inovasi yang memberi impak besar.
“Ini menunjukkan bahawa tiada had bagi apa yang kita boleh capai apabila kita bekerjasama dengan tekad dan idea yang segar.
“Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi untuk terus mencipta lebih banyak penyelesaian yang bermanfaat.
“Jutaan terima kasih kepada mereka yang terlibat kerana beroleh kemenangan mendapatkan pingat emas dan perak ini di peringkat antarabangsa secara tak langsung meningkatkan imej POLIMAS dipersada dunia, ”tambahnya.
IPITEx 2025 telah dianjurkan oleh National Research Council Of Thailand (NRCT) merupakan satu acara tahunan melibatkan inventor dari seluruh dunia untuk mendapat pengiktirafan bagi projek inovasi, dan memperkenalkannya kepada syarikat luar serta pembentangkan projek terpilih oleh NRCT.
Sebanyak 469 projek inovasi telah dipertandingkan yang disertai oleh 24 buah negara termasuk German, United Kingdom, China, Jepun dan Indonesia.
Pingat dan sijil berkenaan telah disampaikan oleh Pengarah Eksekutif NRCT, Dr. Wiparat De-ong. -SUARA.TV