Wanita Umno Akan Kembali Jadi Game Changer Dalam Kerajaan Perpaduan – Shahrizat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Calon Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menjelaskan niat utama beliau bertanding kerana mahu mengembalikan ‘taring’ Wanita Umno agar kembali diyakini dan ke hadapan berbanding sayap wanita parti lain di samping menjuarai isu kewanitaan dalam suasana dunia sudah berubah.

“Kita berada dalam Kerajaan Perpaduan, kita Wanita Umno mesti kembali menjadi game changer di dalam politik dan dasar kerajaan.

“Kita kena ke hadapan mengangkat isu-isu wanita termasuk soal kewarganegaraan di mana Wanita Umno perlu juara soal ini,” katanya lapor Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, bermula suami dibebaskan daripada pertuduhan melakukan pecah amanah dalam Pusat Fidlot Nasional (NFC) telah menjadi titik tolak kepada Shahrizat menjadi seorang pemimpin yang kuat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Shahrizat berkata, beliau tidak pernah meninggalkan perjuangan Wanita Umno meskipun berhadapan tohmahan namun terus setia kepada parti sehingga ke hari ini.

“Sebenarnya isu NFC sudah masuk 11 tahun. Masa NFC berlaku saya Ketua Wanita. Pihak pembangkang melihat komponen Umno paling kuat adalah Wanita Umno, yang ketika itu saya adalah ketua wanitanya.

“Saya terpaksa menghadapinya tetapi mahu menegaskan saya tidak pernah ada kes. Alhamdulillah suami akhirnya dibebaskan oleh mahkamah. Isu NFC menjadi titik tolak kepada keluarga, saya belajar menghadapi cabaran getir sebagai pemimpin.

“Lepas isu NFC, Umno mengadakan pemilihan parti. Pada waktu itu, saya fikir nak bertanding atau tidak, tetapi ahli-ahli Wanita cakap saya kena bertanding dan jangan menyerah kalah, saya pun bertanding dan menang lagi besar berbanding penggal pertama.

“Sebab itu saya rasa tersentuh, sebab ketika berdepan masalah ramai Wanita Umno datang ramai-ramai sebab mereka tahu cabaran seorang pemimpin Wanita dalam arena politik. Di sini bermula kekuatan sebagai Ketua Wanita,” katanya.

Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail yang sebelum ini didakwa atas dua pertuduhan melakukan pecah amanah melibatkan RM49.7 juta dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada tahun 2015.

Dalam pada itu, Shahrizat berkata, beliau tidak kisah dengan isu tersebut walaupun mengakui perkara itu dijangka diulangi dalam pemilihan Umno nanti meskipun nama suaminya sudah dibersihkan setelah dibebaskan mahkamah.

Kata beliau, hanya pihak menentang Umno akan sentiasa menjadikan kontroversi NFC sebagai agenda permainan politik.

Bagaimanapun, katanya, isu itu tidak akan membawa risiko negatif melainkan mereka yang tidak mahukan atau tidak menyokong Umno.

“Memanglah buat apa pun, mereka tidak akan undi Umno, selalunya haters sahaja. Sekarang macam saya nak bertanding, akan cakap NFC, NFC, cakaplah sebab mereka pun tidak sokong. Tiada masalah, itu kita jangkalah. Walaupun dah 11 tahun, dah bebas tapi masih cakap,” katanya.

Mengulas pencalonannya, Shahrizat berkata, beliau menggunakan kekuatannya yang tersendiri untuk menang sebagai Ketua Wanita Umno kali ini dan tanpa dibayangi mana-mana ‘cai’.

Tegas Shahrizat atau lebih dikenali sebagai Kak Ijat, jika beliau dan sayap pergerakan Wanita Umno kuat, maka secara automatiknya institusi Presiden dan keseluruhan parti menjadi kuat.

“Itu Kak Ijat kata, kalau hendak jadi Ketua Wanita kena ada kekuatan sendiri, itu yang beri kekuatan pada Presiden, itu amat mustahak. Saya tidak percaya kekuatan dipinjamkan iaitu kita kena kuat sebab orang itu, orang ini.

“Kalau nak jadi hero atau heroin, anda kena ada kekuatan tersendiri, maka kekuatan itu sebagai hadiah kepada parti. Saya tidak percaya kekuatan dipinjamkan, mesti ada kekuatan sendiri, barulah Presiden pun hormat kita,” katanya.

Dalam pada itu, Shahrizat bukan sahaja menafikan dibayangi oleh kem tertentu, malah beliau tidak mempunyai ‘cai’ untuk senarai calon Naib Ketua Wanita dan Exco Wanita dalam pemilihan parti bulan depan, dengan berjanji akan menggembleng mereka yang menang sebagai dalam satu pasukan.

Jelasnya, beliau tidak sesekali meminggirkan mana-mana pihak dan mahu mereka dilibatkan sama untuk menggerakkan jentera parti khususnya dalam menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada masa terdekat.

“Untuk jadi Ketua Wanita, tidak boleh tengok ini (cai) sebab kita jadi ketua, untuk payung semua ahli sama ada sokong atau tidak sokong, jangan wujud prasangka mereka tidak sokong kita. Jika kita pandai memimpin, mereka yang tidak suka akan sokong kita,” katanya.

Ketika ditanya tugas penting jika terpilih sebagai Ketua Wanita, Shahrizat menjelaskan, beliau mahu sasaran lebih 30 peratus calon wanita dalam pilihan raya dapat direalisasikan dengan usaha itu perlu mengetengahkan mereka mempunyai keterampilan dan merit sebelum bergelar wakil rakyat.

“Bukan setakat gesa kuota 30 peratus sahaja, tetapi bagaimana Wanita Umno dapat membuktikan bahawa kita mempunyai calon pilihan raya berkualiti. Segalanya bermula bagaimana kita dapat melahirkan kepimpinan,” jelasnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat