Tawan puncak Gunung Trus Madi

- Advertisement -

Gunung Trus Madi terletak di Tambunan, Sabah yang bersempadan dengan lima daerah lain iaitu Keningau, Papar, Penampang, Ranau dan Tuaran.

Tarikan utama semestinya Gunung Trus Madi itu sendiri adalah gunung kedua tertinggi di Malaysia dengan memiliki ketinggian 2,642.281 MDPL (8,669 kaki) yang terletak di bawah pengurusan Unit Pengurusan Hutan Sabah.

Gunung ini sangat sinonim dengan pokok periuk kera dan hutan mossy yang boleh dilihat bermula sebelum Base Camp 2. Lumut hijau yang tumbuh segar melekat pada permukaan batuan, pokok-pokok dan lantai tanah yang kelihatan ‘ancient.’

Daun pokok-pokok juga bersaiz besar yang dianggarkan berusia ratusan tahun membentuk seperti kanopi yang memayungi perjalanan pendaki. Selain itu, dianggarkan terdapat 144 spesies burung di sini.

Pada 26 November lalu, Mohd Nasquirel Indra Jaya Mohd Nasir bersama tiga rakan dan seorang jurupandu berpeluang mendaki gunung ini yang mengambil masa tiga hari dua malam.

 

POKOK periuk kera antara tarikan di Gunung Trus Madi.
POKOK periuk kera antara tarikan di Gunung Trus Madi.

 

Mohd Nasquirel berkata, perjalanan menuju Gunung Trus Madi mengambil masa kira-kira sembilan jam dari Kota Kinabalu dengan kenderaan pacuan empat roda.

“Kami berhenti kira-kira satu jam di Keningau untuk makan tengah hari dan membeli barang keperluan sebelum meneruskan perjalanan ke daerah kecil Sook, Keningau.

“Dari Sook ke Base Camp 1 mengambil masa satu jam pemanduan melalui jalan raya berturap dan bermalam di situ sebelum meneruskan perjalanan pada keesokannya,” katanya.

Katanya, untuk ekspedisi kali ini, mereka memilih Laluan Mannan (Mannan Trail) di Kampung Sinua, Sook, Keningau yang menjadi laluan terpanjang iaitu sejauh 12 kilometer,

 

MOHD Nasquirel (kiri) bersama rakan pendaki.
MOHD Nasquirel (kiri) bersama rakan pendaki.

 

“Laluan Mannan yang sangat mencabar kerana pendaki perlu berpaut pada akar kayu dan laluan yang berlumpur.

“Di sepanjang laluan itu, pendaki dapat melalui dua jambatan gantung iaitu Lanting Mamai Roy dan Lanting Sosodopon yang kukuh untuk menyeberangi sungai.

“Pendaki juga berpeluang menikmati air bersih dari gunung untuk diminum dan menyaksikan laluan yang pernah digunakan untuk aktiviti pembalakan.

“Apa yang menjadikan lokasi ini lebih menarik adalah hawa sejuk di sepanjang laluan pendakian ke puncak menjadikan pengembaraan lebih menyeronokkan,” katanya.

Katanya, terdapat dua lagi laluan lain iaitu Laluan Mastan di Apin-Apin, Keningau serta Laluan Kaingaran di Tambunan.

 

AWAN karpet yang menenangkan.
AWAN karpet yang menenangkan.

 

Menurutnya, dari Base Camp 1, tepat jam 8 pagi, mereka menaiki kenderaan kenderaan pacuan empat roda yang disediakan pihak pengurusan menuju titik semak (check point) pertama yang mengambil masa lima minit.

“Dari sini, kami mula mendaki dengan berjalan sejauh lapan kilometer ke Base Camp 2. Kami tiba di Base Camp 2 pada jam 12 tengah hari selepas empat jam berjalan.

“Kami bermalam di Base Camp 2 sebelum meneruskan perjalanan pada jam 1 pagi dan berjalan lagi sejauh empat kilometer untuk tiba di puncak pada jam 5.30 pagi,” katanya.

Setibanya di puncak, mereka mendaki lagi sejauh 300 meter menuju Menara Trus Madi.

“Kami berpeluang menyaksikan matahari terbit dan awan karpet putih yang terbentang indah di sekeliling puncak.

“Dari jarak dekat, kami juga dapat melihat puncak Gunung Sinsing, manakala puncak Gunung Kinabalu juga dapat dilihat dari kejauhan. Lebih mengujakan ialah apabila kami ditunjukkan jurupandu sebuah batu yang menyerupai wajah manusia,” katanya.

 

BERGAMBAR di samping pokok berusia ratusan tahun.
BERGAMBAR di samping pokok berusia ratusan tahun.

 

Jelasnya, mereka meluangkan masa sekitar 45 minit kerana perlu turun dari menara sebelum jam 7 pagi.

“Sepanjang perjalanan, kami juga dihiburkan dengan bunyi-bunyian pelbagai spesies haiwan terutama sekali pada sebelah siang,” katanya.

Beliau berkata, cabaran paling besar yang terpaksa dihadapi dalam ekspedisi ini ialah suhu yang sejuk.

“Suhunya boleh mencecah sehingga tujuh darjah Celsius. Selain itu, keadaan sekeliling yang berangin dengan kelajuan antara 12 hingga 17km/j bukan untuk mereka yang berjiwa lemah.

“Cuaca juga sukar diduga kerana hujan juga boleh turun secara tiba-tiba,” katanya.

Oleh itu, beliau menasihat kepada mereka yang berminat mendaki gunung ini perlu membuat persediaan fizikal dan mental.

“Mental dan fizikal perlu kuat kerana terpaksa melalui laluan yang panjang serta mencabar.

“Peralatan mendaki juga sangat penting seperti kasut yang selesa, pakaian menyerap air, ubat-ubatan, baju hujan dan beg tidur. Pastikan juga pemilihan beg yang betul supaya ia memudahkan pergerakan pendaki,” katanya.

Katanya, lebih penting ialah pendaki mesti sentiasa mematuhi arahan pihak pengurusan seperti tidak memetik bunga, mematahkan dahan pokok, merosakkan lumut dan membuang sampah.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat