(Email Pembaca) PRN Sarawak: GPS Menang Satu Hal, PH Kalah (Lagi) Itu Yang Lebih Penting

SEMALAM, satu lagi keputusan ‘landslide’ berlaku dalam arena politik negara kita. Selepas PRN Melaka dimana BN menyapu 21 daripada 28 kerusi, GPS di Sarawak pula difahamkan menyapu 76 daripada 82 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Matematiknya, 21 berbanding 28 dan 76 berbanding 82, memang landslide lah.

Tapi sementara kemenangan itu mencipta sejarah tersendiri, satu lagi sejarah yang tercipta ialah bila parti-parti berkaitan PH dan PN menerima kekalahan terbesar dalam sejarah pertandingan mereka di Sarawak.

Bukan setakat gagal mempertahan 10 kerusi yang mereka menang dalam pilihanraya 2016, berdasarkan laporan awal, PH juga menerima undi yang jauh lebih rendah berbanding apa yang mereka terima dalam PRN yang lepas.

DAP hanya berjaya mengekalkan 2 daripada 7 kerusi yang mereka menang dulu. PKR kalah semua 28 kerusi DUN yang dipertandingkan (hilang 3 kerusi berbanding 2016). PAN jangan cakaplah, tak usah kata habuk, debu pun tak nampak.

Itupun ada hati presidennya semalam kata kehadiran Warisan di Semenanjung (Bersama MUDA) tidak menjadi ancaman kepada PH. Kalau ikut kepada keputusan semalam dan PRN Melaka sebelumnya, semua boleh meneka siapa sebenarnya yang sudah tidak lagi menjadi ancaman.

Begitu juga parti komponen PN, PAS. Tahun 2016 kalah dengan majoriti kecil di Beting Maro, tapi kali ini kalah dengan majoriti yang lebih besar di Kawasan sama – satu satunya Kawasan mereka letakkan calon sekalipun Tan Sri Muhyiddin dah umum PN tak bertanding di Sarawak.

Cakap-cakap penganalisis kedai kopi menyebut, tak hairanlah kenapa Bajet 2022 kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri berjaya diluluskan dengan mudah – tidak ada siapa di kalangan pembangkang yang mahu PRU diadakan kalau bajet itu tidak lulus.

Kekalahan besar di PRN Melaka itu buktinya dan satu lagi kekalahan besar di PRN Sarawak semalam, pelengkapnya.

Begitupun, sama macam BN di Melaka kemenangan semalam bukan petanda untuk merasa bangga dan bersenang-senang. Paling tidak kebangkitan parti baru PSB ini yang berjaya menang 4 kerusi di sebalik status sebagai parti baru, perlu diberi perhatian oleh GPS.

Kita bagaimanapun yakin pimpinan GPS dibawah Pehin Sri Abang Abdul Rahman Johari Abang Openg, mampu menguruskan perkara tersebut. Tahniah diucapkan kepada beliau dan pimpinan GPS lainnya atas kejayaan besar ini dan semoga dapat meneruskan usaha-usaha membantu rakyat Sarawak.

Pemerhati Sarawak