KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) menyerbu premis rumah kedai yang menyediakan perkhidmatan bilik sewa bersaiz ‘liang lahad’, hari ini.
Premis rumah kedai dua tingkat terletak di Jalan Jejaka, Taman Maluri, Cheras itu diserbu menerusi operasi khas Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK), kira-kira jam 1 tengah hari tadi.
Menterinya, Nga Kor Ming, berkata operasi MBK dijalankan susulan aduan daripada orang awam berhubung premis yang menawarkan perkhidmatan bilik sewa membabitkan 38 bilik itu.
Katanya, operasi dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu dibuat selepas amaran lima hari amaran dikeluarkan terhadap pemilik premis yang mengubah suai bangunan tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Kali pertama dalam sejarah, KPKT membuat pemeriksaan mengejut. Tujuan operasi ini adalah mengenal pasti wujud bahaya kebakaran dan bahaya kepada penduduk.
“Saya lihat sendiri bilik berbau, sempit dan seolah tiada ciri kemanusiaan. Kutipan sewa yang tidak berbaloi untuk pertaruhkan nyawa penyewa bagi mengaut untung.
“Bukan itu sahaja, tidak ada sistem udara dan tidak dilengkapi dengan tingkap, 38 bilik tapi berkongsi satu tandas. Saya anggarkan 40 ke 50 orang penyewa mampu menularkan penyakit berjangkit sekiranya berterusan,” katanya pada sidang media di lokasi, tadi.
Kor Ming berkata, hasil pemeriksaan mendapati premis bekenaan juga diubah suai tanpa kebenaran serta tidak dilengkapi alatan kecemasan seperti lampu kecemasan ‘keluar’.
“Kita akan mengeluarkan notis MBK mengikut Seksyen 8 Akta 341(Akta Perkhidmatan Bomba 1988) kepada pemilik premis dan diberikan tempoh yang bersesuaian untuk pemilik mematuhi kehendak notis bagi menghapuskan bahaya kebakaran yang wujud.
“Jika notis tidak dipatuhi, satu kertas siasatan akan dibuka bagi tujuan pendakwaan,” katanya selain memberi amaran bahawa operasi mengejut ini bagi menghantar mesej sangat jelas kepada pihak yang terbabit.
“Ini hanyalah ‘tip of the iceberg’ (kecil daripada bilangan sebenar). Mulai ini, PBT akan periksa bangunan berisiko kebakaran dan ambil tindakan undang-undang,” katanya.
Dalam serbuan itu, didapati penghuni hanya dibekalkan satu tilam, plug pengecas dan lampu mentol, selain terpaksa berkongsi suasana yang sempit dan busuk itu dengan 40 ke 50 penghuni yang lain untuk dua tingkat bangunan terbabit.
Dengan kadar sewa RM300 sebulan, penghuni ditempatkan di kediaman wujud bahaya kebakaran susulan pengubah suaian tanpa kelulusan dilakukan bagi membina bilik sewa bersaiz kecil.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan pada tahun ini sehingga Ogos sahaja, pihak bomba menerima 43 laporan rumah kedai terbakar manakala 13 lagi membabitkan asrama. – BH