KUALA LUMPUR – Kerajaan kini menumpukan kepada pembangunan kenderaan elektrik (EV) dengan menawarkan pelbagai insentif cukai bertujuan menggalakkan aktiviti pemasangan dan pengilangan kenderaan, pengeluaran komponen berkaitan EV serta perkhidmatan teknologi hijau.
Ini sejajar dengan Aspirasi Rendah Karbon 2040 kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Justeru kata beliau, kerajaan juga telah menubuhkan EV Taskforce yang dianggotai oleh pelbagai pihak untuk memperinci strategi sedia ada berkaitan pembangunan EV dan mempromosi industri EV tempatan.
“Dalam hal ini, empat bidang menjadi fokus utama iaitu meningkatkan penggunaan EV, membangunkan infrastruktur pengecasan, membangunkan bakat dan menarik pelaburan selain rangka kerja strategik dikenal pasti bagi menyokong pertumbuhan industri EV tempatan.
“Sehingga kini, lebih 600 buah kemudahan pengecas EV telah dipasang di seluruh negara dan ditingkatkan lagi melalui inisiatif syarikat seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan PETRONAS dengan memeterai jaringan kerjasama dengan pihak berkaitan,” katanya di Majlis Pelancaran Dasar Tenaga Negara (DTN) 2022-2040 di Putrajaya pada Isnin.
Bagi memacu pembangunan hidrogen, Perdana Menteri memberitahu kerajaan sedang memuktamadkan Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen, meliputi penggalakkan penyertaan pemain industri, R&D termaju yang berorientasikan pasaran serta penggunaan produk dan teknologi berkaitan hidrogen.
Selain itu katanya, kerajaan juga telah mengagih semula kuota Tenaga Boleh Baharu (TBB) sebanyak 1,200 megawat bagi memacu penjanaan hidrogen hijau.
“Pada masa ini, PETRONAS juga sedang bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam bidang hidrogen bagi penjanaan sumber ekonomi baharu.
“Kerajaan yakin DTN berupaya memastikan sektor tenaga negara sentiasa bersedia untuk mendepani cabaran masa hadapan,” ujarnya.
Ismail Sabri berkata, kerajaan terus bersikap prihatin dan memberi jaminan bahawa Keluarga Malaysia akan kekal mendapat akses kepada bekalan tenaga yang terjamin pada harga mampu bayar meskipun berdepan pelbagai cabaran.
“Aspirasi Rendah Karbon 2040 di bawah DTN mengandungi sembilan sasaran terpilih untuk dicapai pada tahun 2040, antaranya perkongsian mod pengangkutan awam bandar sebanyak 50 peratus; penggunaan kenderaan elektrik (EV) sebanyak 38 peratus; standard bahan api alternatif kenderaan berat dengan campuran bahan api B30.
“Juga penggunaan gas asli cecair atau LNG sebagai bahan api alternatif pengangkutan marin sebanyak 25 peratus; dan penjimatan kecekapan tenaga oleh industri dan komersial sebanyak 11 peratus serta kediaman sebanyak 10 peratus,” katanya.
Beliau mengumumkan bahawa kerajaan telah menggubal Dasar Tenaga Negara (DTN) 2022-2040 sebagai satu penyelesaian holistik bagi menjamin bekalan tenaga, kemampanan alam sekitar dan kemakmuran Keluarga Malaysia selain menggalak daya saing dan inovasi dalam industri serta merancakkan pertumbuhan ekonomi.
Hal ini katanya, penggubalan DTN mengambil kira perkembangan serta cabaran dalaman dan luaran demi memastikan sektor tenaga dapat terus membangun dengan mampan.
“DTN merupakan komitmen kerajaan untuk menyediakan peluang pekerjaan baru dan menjadikan sektor tenaga sebagai pemangkin utama kemampanan sosioekonomi bagi kesejahteraan Keluarga Malaysia.
“DTN juga akan memperkemas dan mengharmoni pelbagai dasar berkaitan tenaga sedia ada bagi memastikan sektor ini terus kalis cabaran pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata, visi DTN adalah kemampanan tenaga untuk mencapai kemakmuran bersama dan disokong oleh tiga objektif iaitu meningkatkan daya tahan ekonomi makro dan jaminan bekalan tenaga; mencapai kesaksamaan sosial menerusi mampu bayar tenaga; dan memastikan kelestarian alam sekitar.
Ismail Sabri berkata, objektif ini bertujuan mengimbangi trilema tenaga yang sejajar dengan matlamat utama Rancangan Malaysia
Ke-12 (RMK-12) dan juga Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Sehubungan itu beliau berkata, DTN menetapkan sasaran khusus bagi sektor tenaga, iaitu aspirasi negara rendah karbon 2040.
“Saya percaya inisiatif ini akan dapat membantu mencapai aspirasi negara pada tahun 2050 bagi menghadapi trend yang berlaku dalam peralihan tenaga dan menangani cabaran perubahan iklim.
“Pelaksanaan aspirasi ini secara holistik dijangka dapat meningkatkan purata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM13 bilion setahun dan mewujudkan lebih 207,000 peluang pekerjaan baru,” katanya.
Perdana Menteri juga memberitahu kerajaan bersetuju menubuhkan Majlis Tenaga Negara bagi menerajui hala tuju peringkat tertinggi dalam membuat keputusan strategik berkaitan sektor tenaga, kerana strategi dan pelan tindakan DTN merentasi pelbagai sektor dan pihak berkepentingan.
“Saya akan mempengerusikan Majlis Tenaga Negara ini bagi memastikan inisiatif DTN dilaksanakan secara berkesan oleh kementerian dan agensi bertanggungjawab berdasarkan akauntabiliti dan peranan masing-masing.
“DTN merupakan ‘living document’ yang dikemas kini setiap tiga tahun dengan semakan dan pertimbangan dilakukan MTN, selari dengan kemajuan teknologi, tahap pencapaian sosioekonomi negara dan keseimbangan trilema tenaga semasa,” katanya.