Politik Matang Ismail Sabri Tenangkan ‘Hingar-Bingar’ Politik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik mencatat sejarah politik matang Malaysia apabila julung kalinya kerajaan dan pembangkang membina ‘jambatan perdamaian’, meredakan cacamarba politik yang berlaku dalam negara.

Pembaharuan landskap politik yang dicorakkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi MoU yang dimeterai Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) pada September 2021 itu dilihat membuahkan hasil dan berupaya menenangkan ‘hingar-bingar’ politik sebelum ini.

Mengambil alih tampuk pemerintahan negara dalam keadaan sukar susulan pandemik COVID-19 yang menjejaskan kehidupan rakyat dan pertumbuhan ekonomi, Perdana Menteri kesembilan itu sedar hanya melalui kestabilan politik dapat membawa Malaysia keluar daripada kegawatan dan bangkit menghadapi segala cabaran.

Dalam tempoh setahun ini, pengamatan penganalisis politik Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain mendapati tindakan berani Ismail Sabri mengadakan persefahaman antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan menyumbang kepada kematangan politik negara dan transformasi ke arah pembaharuan tadbir urus serta pemulihan ekonomi negara. 

Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia itu berkata MoU yang dimeterai itu berhasil meredakan suhu politik negara sehingga akhirnya menjayakan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan peruntukan larangan wakil rakyat bertukar parti.

Lapor Bernama, bukan hanya membantu menenangkan suasana politik negara yang pada ketika itu agak ‘panas’, Mohd Izani berkata MoU itu turut membantu kerajaan menggubal dan meluluskan dasar-dasar penting untuk negara bergerak ke hadapan pasca pandemik dengan lebih seimbang dan lancar.

“Apabila beliau perkenalkan MoU itu, kita nampak ia satu langkah baik yang boleh menampan ketidaktentuan politik sedia ada, ia juga mendekatkan jurang kerajaan dan pembangkang dalam situasi sukar dihadapi negara, (mereka) tidak boleh bercakaran dan mesti duduk bersama-sama bagi membangunkan kembali ekonomi negara.

“Ia juga menyediakan lebih banyak platform kepada pembangkang untuk bersuara dan bersama-sama membantu kerajaan. Saya nampak di sini peranan pembangkang diangkat sebagai pembangkang berfaedah,” katanya.

Diperkenalkan Ismail Sabri kurang sebulan sebaik dilantik menjadi Perdana Menteri, MoU itu menerima pujian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan rasa syukur dan sukacita dengan pendekatan bersejarah kerjasama rentas parti.

Umumnya rakyat menghargai pemeteraian MoU, yang merangkumi pemerkasaan pelan COVID-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu, kerana ia membawa kestabilan dan dimensi baharu politik negara.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan MoU itu berjaya menjadi kenyataan kerana sikap positif Ismail Sabri yang mahu berunding dengan pembangkang manakala Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu berpandangan MoU itu sebagai persefahaman bermakna.

“Kita runding dengan teliti dan agak mengambil masa yang lama… dari segi kerangka lebih besar, kita fikir untuk kerajaan, untuk kematangan politik ini, janganlah kita bertempur dalam semua hal, bila keadaan yang memanfaatkan rakyat atau institusi negara kita beri sokongan. Dari segi itu saya anggap satu kemajuan dari segi kematangan politik dalam sistem demokrasi dengan memorandum persefahaman ini. 

“Sekurang-kurangnya Datuk Seri Ismail (Sabri) ini dia beri ruang yang tidak diberikan sebelumnya,” kata Anwar.

Demi mencorak masa depan yang lebih baik, kerajaan Keluarga Malaysia sekali lagi mencatat sejarah negara apabila Dewan Rakyat pada 28 Julai meluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga pindaan Perlembagaan Persekutuan yang melarang wakil rakyat ‘lompat parti’, bertujuan memastikan kestabilan politik dan mengelakkan negara berdepan krisis politik.

Mohd Izani menyifatkan MoU dan pindaan Perlembagaan Persekutuan itu kejayaan besar Ismail Sabri dan kerajaan pimpinannya yang membawa kepada kematangan demokrasi, sekali gus menghormati mandat dan kepercayaan rakyat yang memilih wakil rakyat pilihan mereka. 

Selain itu, turut sedang diusahakan kerajaan Keluarga Malaysia ketika ini ialah pelaksanaan Rang Undang-Undang Sumbangan Politik yang menurut Ismail Sabri sedang digubal dan akan dibentang untuk perbincangan di Kabinet sebelum dibawa untuk sesi libat urus dengan parti-parti politik.

Bekas Presiden Majlis Peguam K. Ragunath percaya sokongan majoriti kepada beberapa rang undang-undang penting dalam tempoh setahun pentadbiran Ismail Sabri membuktikan wujudnya komunikasi baik antara kerajaan dan pembangkang, satu perkara penting untuk negara mengorak langkah ke hadapan.

Selain, rang undang-undang lompat parti ini, katanya pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang memberi pengiktirafan kepada tuntutan dan status istimewa Sabah dan Sarawak apabila menyertai Malaysia turut dilulus sebulat suara di Dewan Rakyat Disember lepas.

“Apa yang telah dibuat sepanjang tempoh singkat ini memberi gambaran bahawa negara boleh bergerak ke depan dengan masa depan lebih cerah sekiranya hubungan baik kerajaan dan pembangkang dapat dikekalkan seperti sekarang. 

“Ke hadapan, saya harap usaha yang sedang dijalankan untuk memperkukuhkan institusi seperti SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), pengasingan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara dan menjadikan Parlimen badan bebas dapat direalisasikan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat