Kempen PRN Negeri Sembilan bermula, 103 calon mulakan usaha pikat hati pengundi

SEREMBAN – Saingan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 bermula secara rasmi hari ini dengan menyaksikan perebutan sengit membabitkan 103 calon bagi merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas tamatnya proses penamaan calon.

Fasa kempen selama 14 hari sehingga 31 Julai ini bakal menyaksikan landskap politik negeri berubah sepenuhnya susulan perpecahan pakatan tradisional yang membawa kepada berlakunya lonjakan pertandingan pelbagai penjuru.

Sebanyak 21 daripada 36 kerusi DUN akan menyaksikan persaingan tiga penjuru, manakala 11 kerusi membabitkan satu lawan satu, dan baki empat kerusi lagi melibatkan pertembungan empat serta lima penjuru.

Pilihan raya kali ini turut melakar sejarah tersendiri melalui jalinan persefahaman politik luar jangka antara Barisan Nasional (BN) yang meletakkan 25 calon dan Perikatan Nasional (PN) dengan 11 calon bagi memaksimumkan sokongan dari undi Melayu.

Sebaliknya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memilih bergerak solo menggunakan logo sendiri di 24 kerusi, sekali gus mencetuskan pertembungan sesama sendiri dengan PAS di empat kawasan.

Tumpuan utama pastinya terarah ke DUN Linggi yang menjadi kerusi paling panas apabila mantan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-PKR), membuat keputusan berani berpindah dari kubu kuatnya di Sikamat untuk bertanding di kubu tradisi BN itu.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP merangkap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, akan mempertahankan kerusi campuran DUN Chennah dalam saingan satu lawan satu menentang calon BN daripada MCA, Siow Kong Choon.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, turut dicabar oleh Dr. Azizul Hakim Mahdi (PH-PKR) dalam usaha mempertahankan kubu kuatnya di DUN Rantau.

Penganalisis politik melihat PRN Negeri Sembilan ini sebagai ‘ujian rintis’ menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) bagi menilai sejauh mana formula kerjasama baharu BN-PN mampu menggugat penguasaan Pakatan Harapan (PH).

Isu-isu membabitkan kestabilan kerajaan negeri, kos sara hidup, kebajikan peneroka FELDA, serta peringatan ketat untuk tidak mempolitikan institusi diraja dan adat diramal menjadi modal utama sepanjang tempoh berkempen.

Dari analisa yang dilakukan berdasarkan data pengundi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). PH dilihat ada kelebihan ketara di kawasan bandar disebabkan imej reformasi, sokongan padu komuniti bukan Melayu serta kekuatan calon temparan.

Kunci kemenangan PH di kawasan bandar dilihat banyak bergantung pada kadar keluar mengundi.

Sekiranya pengundi bandar bersikap acuh tak acuh dan peratusan keluar mengundi merosot di bawah 60 peratus seperti corak selepas pilihan raya sebelum ini, PH berisiko kehilangan dominasi selesa mereka.

Di kawasan luar bandar, Gabungan Barisan Nasional dan PAS/PN memiliki kelebihan besar apabila penyokong tegar UMNO dan PAS bersatu di bawah satu naratif politik Melayu. Corak ini telah terbukti di kawasan luar bandar dalam pilihan raya terdahulu.

Hari mengundi bagi PRN Negeri Sembilan telah ditetapkan pada 1 Ogos 2026.

author avatar
Ibnu Khusairy Aris
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat