KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) memberi jaminan operasi dan bantuan perlindungan kepada pelarian serta pemohon suaka di Malaysia akan diteruskan meskipun aktiviti pendaftaran dan dokumentasi golongan itu dihentikan mulai semalam.
UNHCR memaklumkan, pihaknya bersama rakan kerjasama akan terus melaksanakan pelbagai aktiviti termasuk penempatan semula dan sokongan kepada individu yang mempunyai keperluan perlindungan mendesak.
Menurutnya, penghentian aktiviti pendaftaran dan dokumentasi itu dibuat selaras dengan keputusan kerajaan Malaysia untuk mengambil alih urusan berkenaan.
“Walaupun aktiviti pendaftaran dan dokumentasi dihentikan, operasi UNHCR di Malaysia tidak ditutup.
“Kami bersama rakan kerjasama akan terus menjalankan aktiviti lain termasuk penempatan semula dan memberikan sokongan kepada pelarian serta pemohon suaka yang mempunyai keperluan perlindungan mendesak,” katanya dalam kenyataan satu kenyataan hari ini.
UNHCR berkata, pihaknya juga akan meneruskan perbincangan dengan pihak berkuasa Malaysia mengenai cadangan pelan hala tuju peralihan bagi memastikan kesinambungan perlindungan kepada komuniti terbabit.
Katanya, kerjasama itu merangkumi pemberian nasihat teknikal, perkongsian kapasiti dan sokongan kepada kerajaan sepanjang proses peralihan dilaksanakan.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa kerajaan melalui Jabatan Imigresen mengambil alih peranan pendaftaran dan pengurusan data pelarian secara berperingkat.
Menurut beliau, pengambilalihan itu dilaksanakan menerusi sistem Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bagi membolehkan kerajaan mempunyai rekod data komuniti berkenaan yang sahih dan menyeluruh.
Langkah tersebut juga bertujuan membolehkan pengurusan data pelarian dilaksanakan tanpa bergantung kepada entiti luar.



